Akibat pencemaran Sungai Kim Kim : Irfan Wafiy positif myokymia

Irfan Wafiy Idham Wazir

Oleh Siti Zanariah Nor Zin

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, sebelum ini sangat aktif berlari, berenang dan bebas melakukan apa sahaja bagi menikmati zaman kanak-kanaknya.

Kini, setiap pergerakannya terbatas setelah disahkan menghidap Myokymia iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badan menggeletar. 

Irfan Wafiy, anak keempat daripada lima beradik diduga dengan penyakit seakan-akan Parkinson dipercayai setelah terdedah dengan pencemaran toksik Sungai Kim-Kim, Johor Mac lepas.

Ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, berkata Irfan Wafiy dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) setelah sukar untuk bernafas disyaki akibat terhidu gas beracun semasa sesi persekolahan.

Tidak seperti rakan-rakan lain, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang itu dimasukkan ke hospital lebih lama iaitu 10 hari berikutan keadaan kesihatan yang merosot setiap hari.

Pakar HSI jelasnya telah melakukan pelbagai prosedur termasuk pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi mengenal pasti punca kakinya menggeletar. 

“Pada malam kedua di hospital kaki dia mula menggeletar. Sewaktu dia tidur, jantungnya berdegup kencang. Doktor tepuk pipi Irfan Wafiy banyak kali tapi dia seolah-olah tidur yang sangat lena. Kumpulan doktor yang berada di keliling katil membuat keputusan untuk memanggil pakar neurologi.

“Doktor pakar neurologi suruh dia berjalan, dia tak boleh berjalan. Saya kena pimpin dia. Ada satu ketika sewaktu saya bawa ke tandas, saya terlupa yang dia tidak lagi boleh berjalan dengan normal, dia jatuh dalam tandas,” kata Norlela kepada Bernama News Channel (Astro 502) ketika dihubungi hari ini.

Suri rumah itu berkata, pakar di HSI kemudiannya merujuk kes Irfan Wafiy ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan hasil pemeriksaan mendapati anaknya itu positif Myokymia susulan terhidu gas beracun yang mengakibatkan kegagalan fungsi paru-parunya. 

Disebabkan terpaksa berulang-alik dari rumah ke hospital, bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir, 49, mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak lelaki kesayangannya itu. 

Menurut Norlela, Irfan Wafiy bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini dan disebabkan kecuaian pihak tidak bertanggungjawab, masa depan anaknya kini seolah-olah samar. 

“Semua permainan, alatan sukan saya simpan. Ada kalanya Irfan Wafiy akan menumbuk-numbuk betisnya dengan harapan kakinya tidak lagi bergetar. Sebagai ibu yang dah membesarkan dia sejak lahir, saya sedih dengan apa yang terjadi,” katanya.

Norlela berkata, sejak anaknya menerima rawatan di HSI mahupun di HKL, tiada mana-mana pihak yang tampil memberi bantuan. Kunjungan mereka hanya sekadar melawat kemudian tiada tindakan susulan yang diberikan. 

Menurut Norlela, disebabkan tiada pembelaan daripada mana-mana pihak, suaminya menghadiri sesi perjumpaan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin bersama pengusaha kilang di Pasir Gudang baru-baru ini. 

Menerusi video yang tersebar di media sosial, Idham menyuarakan kekesalannya kepada pengusaha kilang dan meminta agar mereka bertanggungjawab dengan kejadian yang menimpa bukan sahaja kepada Irfan Wafiy malahan kepada semua mangsa.

Pada 7 Mac, 103 pelajar dan penduduk di sekitar Sungai Kim Kim sakit dan dimasukkan ke hospital akibat terhidu gas beracun. Selepas penyiasatan awal dibuat, pihak berkuasa mengenal pasti puncanya ialah daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim. 

Pada 11 Mac 2019, gelombang kedua tindak balas gas beracun daripada bahan kimia di Sungai Kim Kim bermula. Seramai 106 mangsa baharu dimasukkan ke hospital dengan jumlah mangsa mencecah 1,000 orang beberapa hari kemudian, dan lapan daripadanya dimasukkan ke unit rawatan rapi. 

Ini kerana gas itu boleh menyerap ke dalam badan manusia melalui saluran pernafasan dan juga kulit. Beberapa gas beracun dihasilkan selepas reaksi air dan udara bersama bahan kimia tersebut. Ia termasuk gas acrylonitrile, xylene, metana dan toluene yang boleh menyebabkan sakit kepala, loya, pengsan dan kesukaran bernafas. 

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018