Myokymia boleh ganggu tumbesaran - Pakar perubatan

Oleh Noor Shamsiah Mohamed

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Penyakit Myokymia yang kini dihidapi oleh Irfan Wafiy Idham Wazir, 12,  boleh mengganggu tumbesaran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang itu jika tidak mendapat rawatan sewajarnya, kata seorang pakar perubatan.

Menjelaskan mengenai penyakit Myokymia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Omar berkata gangguan tumbesaran adalah antara kesan jangka masa panjang selain gangguan emosi kepada kanak-kanak itu disebabkan ketidakupayaan yang dialami ekoran gangguan saraf.

“Penyakit Myokymia bukanlan satu penyakit baharu di negara ini, ia merupakan istilah perubatan untuk penyakit berkaitan gangguan saraf sama ada saraf pusat mahupun saraf lain yang menyebabkan pergerakan otot berlaku tanpa kawalan.

“Contohnya kita mungkin pernah mengalami masalah mata atau otot mula bergerak-gerak atau menggeletar, ini juga boleh dikatakan sebagai penyakit Myokymia disebabkan gangguan sistem dalam otak,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dr Zainal berkata ia juga boleh berlaku kepada anggota badan yang lain termasuk kaki dan tangan, bergantung kepada punca gangguan saraf.

Dr Zainal, yang juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, berkata mengikut jurnal perubatan terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan penyakit Myokymia itu berlaku antaranya ketumbuhan di otak atau saraf-saraf lain selain masalah pengambilan kafein yang berlebihan.

Mengenai kes melibatkan Irfan Wafiy, pakar perubatan itu berkata: “Ia memerlukan ketelitian pakar sepenuhnya untuk melihat sama ada gangguan saraf itu berlaku setempat atau di beberapa tempat pada anggota badan yang lain.

“Ujian darah juga perlu dilakukan untuk melihat jika ada keracunan toksik selain ujian MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer),” katanya.

Pakar di Hospital Sultan Ismail sebelum ini dilaporkan telah melakukan pelbagai prosedur termasuk MRI bagi mengenal pasti punca kaki murid Tahun Enam itu menggeletar sebelum dia disahkan positif mengalami penyakit Myokymia setelah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018