Semua 15 pesakit malaria di Lipis stabil



LIPIS, 15 Julai (Bernama) -- Lima belas pesakit Orang Asli dari Pos Lenjang di sini, yang disahkan menghidap deman malaria berada dalam keadaan stabil, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik. 

Beliau berkata mereka yang kini dirawat di Hospital Kuala Lipis di sini, terdiri daripada 12 kanak-kanak dan tiga dewasa, yang semuanya merupakan kaum suku Semai. 

"Mereka menerima rawatan antibiotik selama dua minggu dan kini diletakkan di bawah pemantauan teliti doktor pakar," katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit di sini, hari ini. 

Dr Md Farid berkata bagi mengelakkan penularan penyakit itu, individu yang keluar masuk ke Pos Lenjang diminta mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lipis. 

Katanya, ini membolehkan individu tersebut menjalani saringan kesihatan dan mengambil profilaksis bagi mengelak mereka daripada dijangkiti penyakit tersebut dan membawa keluar penyakit itu. 

"Kaum suku Semai antara yang banyak berinteraksi dengan dunia luar. Ini berkemungkinan boleh menyukarkan kami mengawal penularan penyakit itu, jadi langkah mendaftarkan mereka yang keluar masuk adalah yang terbaik," katanya. 

Sementara itu, pegawai PKD Lipis Dr Noorhafizan Mat Salleh berkata setakat ini, sebanyak 400 penduduk Kampung Pagar dan Kampung Sedang di Pos Lenjang yang merupakan lokasi kejadian, telah menjalani ujian saringan sejak 12 Julai lalu. 

"PKD Lipis telah menubuhkan lima pasukan bagi tujuan perubatan dan kawalan wabak dengan tindakan yang dilakukan ialah semburan racun serangga dan edaran kelambu berubat," katanya. 

Kementerian Kesihatan hari ini, mengesahkan terdapat 15 kes malaria dilaporkan berlaku di dua kampung itu, yang dikesan sejak 11 Julai lalu dan semua kes disahkan sebagai malaria jangkitan Plasmodium Vivax. 

Punca jangkitan bagaimanapun sedang disiasat PKD Kuala Lipis kerana kawasan itu tidak melaporkan kes malaria sejak lapan tahun lalu, dengan kes terakhir dilaporkan pada 2011. 

-- BERNAMA 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018