Terengganu peruntuk RM10.9 juta Program Kad Sejahtera



KUALA TERENGGANU, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Program Kad Sejahtera, yang bakal memberi manfaat kepada 20,000 rakyat daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin di negeri ini, bagi mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat permulaan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.9 juta untuk pelaksanaan program berkenaan tahun ini. 

"Melalui program ini, setiap ketua keluarga yang layak akan diberi kad bernilai RM500 yang boleh digunakan dalam tempoh setahun dengan bayaran maksimum RM70 untuk setiap kali rawatan di klinik swasta.

"Pada masa ini, Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti 80 klinik swasta yang akan terlibat dengan program ini dengan 10 klinik di setiap daerah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran kad itu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menunjukkan 90 peratus rakyat Terengganu menggunakan perkhidmatan rawatan serta memperoleh ubat-ubatan dari klinik dan hospital milik kerajaan selama ini.

Kad berkenaan membolehkan golongan miskin mendapatkan rawatan sakit ringan seperti demam, batuk dan lain-lain penyakit tanpa perlu lagi ke hospital atau klinik kerajaan, dan secara tidak langsung program itu dapat mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan milik kerajaan.

"Kad Sejahtera adalah program jangka pendek supaya dapat memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin. 

"Bagi penyakit kronik terutama kes yang memerlukan pembedahan, mereka masih boleh mendapatkan bantuan daripada Tabung Darul Iman," katanya.

Program itu akan bermula Ogos ini, dan setakat ini 8,000 ketua isi rumah (KIR) yang layak sudah dikenal pasti melalui senarai penerima e-kasih.

Permohonan masih dibuka kepada ketua isi rumah dengan pendapatan bawah RM1,750 sebulan, katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018