Dua produk gugur janin yang dijual dalam talian tidak berdaftar dengan KKM



KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa produk Misoprostol dan Mifepristone yang digunakan untuk tujuan menggugurkan janin merupakan produk tidak berdaftar dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya memandang serius isu penjualan produk berkenaan secara dalam talian dan telah membuat beberapa serbuan susulan aktiviti risikan forensik siber mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada.

“Sejak tahun 2016, 16 serbuan yang menyasarkan produk-produk ini telah dilaksanakan dengan 28 bilangan rampasan bernilai RM97,578,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, modus operandi yang digunakan bagi penjualan produk ini adalah menggunakan medium internet, aplikasi komunikasi internet dan platform e-dagang bagi mengelakkan aktiviti penjualan dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Justeru Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta media sosial dalam mengambil tindakan menyenarai hitam penjual yang menjual produk ini di platform mereka. 

Dr Noor Hisham turut menegaskan bahawa penjual yang menjual dalam ‘webpage’ peribadi, domain mereka akan disenaraikan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan sekatan.

Menurut beliau, dari tahun 2016 sehingga kini, sebanyak 225 laman sesawang telah dipantau dan diprofil dan daripada jumlah tersebut, 98 laman web telah dihantar kepada SKMM, Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan.

“Sumber pembekalan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar disyaki diperoleh secara haram di dalam negara dan melalui pembelian secara dalam talian dan penyeludupan dari negara luar. Penghantaran pil Misoprostol kepada pembeli adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier. Penjual menggunakan identiti palsu dan alamat tempat penjualan palsu,” katanya.

Beliau berkata penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Individu boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian selain tidak mudah terpedaya dengan iklan dan sebarang maklumat selain boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.gov.my. 

Selain itu orang ramai juga boleh menyalur maklumat mengenai penjualan pil gugur ini dan mengemukakan aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my. atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi atau talian 03-78413200.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018