Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Memanjangkan waktu operasi klinik-klinik kesihatan (KK) awam yang besar di seluruh negara dilihat sebagai satu alternatif untuk mengurangkan kesesakan di hospital-hospital kerajaan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr N. Ganabaskaran berkata pemanjangan waktu operasi di sesetengah klinik kesihatan terbukti dapat menangani masalah kesesakan di sesetengah hospital yang sering berlaku kesesakan.
Beliau juga mencadangkan agar dilaksanakan pengagihan semula tenaga manusia yang amat diperlukan dengan melaksanakan desentralisasi perkhidmatan jauh dari Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) yang sentiasa sibuk.
“Waktu operasi yang lebih panjang di Klinik Kesihatan, misalnya di KK Kuala Lumpur, telah dapat mengalihkan sedikit beban dari Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL (Hospital Kuala Lumpur), tetapi pemanjangan waktu operasi juga hendaklah diperluaskan ke semua KK di negara ini dengan menambah perkhidmatan yang ditawarkan.
“Oleh itu, pelaburan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan-perkhidmatan rawatan utama dapat mengurangkan beban di hospital-hospital,” katanya kepada Bernama.
Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dikeluarkan pada Isnin menyatakan bahawa peningkatan jumlah kedatangan pesakit antara 5.7 dan 95.6 peratus di Jabatan Kecemasan dan Trauma, halangan-halangan beban kerja yang ditanggung pihak hospital, ditambah pula dengan kekurangan peralatan perubatan, ruang yang terbatas dan sistem ICT yang lemah telah menjejaskan jabatan itu dalam menyediakan perkhidmatan kecemasan yang sesuai dengan pantas kepada pesakit.
Laporan itu seterusnya mendedahkan bahawa Jabatan Kecemasan dan Trauma juga mengalami defisit sebanyak 11.6 hingga 53.1 peratus dari segi tenaga manusia yang diperlukan berdasarkan Petunjuk Beban Kerja Keperluan Kakitangan 2010.
Dr Ganabaskaran menambah, keperluan tenaga kerja dalam sistem penjagaan kesihatan perlu dikaji semula memandangkan kebanyakan keperluan tenaga kerja semasa telah bertambah tetapi tidak dapat memenuhi keperluan, manakala perkhidmatan yang diberikan juga telah bertambah.
“Keperluan-keperluan tenaga manusia masih berdasarkan angka-angka yang digunakan 20 tahun lepas atau lebih lama lagi. Kebanyakan hospital telah mengisi habis kesemua jawatan yang diperuntukkan kepada mereka namun keperluan sebenar tenaga menusia masih belum mencapai paras optimum untuk memenuhi pertambahan perkhidmatan yang kami berikan demi menjaga kesihatan rakyat.
“Isunya bukan kekurangan tenaga manusia tetapi kekurangan jawatan yang ditawarkan. Terdapat ramai siswazah yang masih menunggu penempatan dan jawatan tetapi tiada tempat yang dapat diberikan kepada mereka,” tambah beliau.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataannya di Twitter berkata kementerian akan terus menambah baik penyampaian dan sistem penjagaan kesihatan (HC).
“Saya menyambut baik penemuan-penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2018. Kekurangan dana adalah kunci kepada masalah-masalah yang berterusan dalam penyampaian penjagaan kesihatan. Walaupun sumber-sumber adalah terhad dan beban kerja pula semakin bertambah, kakitangan telah bekerja kuat.
“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan terus memperkasakan penyampaian penjagaan kesihatan menerusi perbelanjaan yang berkesan dan inovasi,” menurut beliau dalam tweetnya pada Selasa.
Bersetuju dengan komen Dr Dzulkefly, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan Facebooknya pada Rabu pula mengukuhkan lagi pendapat itu dengan berkata lebih banyak dana harus disuntik ke dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
“Kita kini kekurangan dana, kekurangan kakitangan, dibayar gaji rendah, mempunyai beban kerja tinggi, melebihi keupayaan dengan kemudahan yang penuh sesak dengan pesakit.
“Kita semua perlu bekerja lebih keras untuk memperbaiki sistem penjagaan kesihatan awam, untuk menambah dana, untuk menambah billangan petugas penjagaan kesihatan, untuk menambah baik skala gaji dan ketersediaan jawatan dalam kemudahan-kemudahan kesihatan kita; yang kesemuanya di luar kawalan KKM. Saya yakin di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” tulis beliau.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN