KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengedar dan menjual gula-gula ‘Ghost Smoke’ sekiranya bahan nikotin ditemukan dalam kandungan produk itu.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata ini kerana penjualan nikotin tanpa lesen di pasaran terbuka adalah salah di sisi undang-undang dan aktiviti penjualan hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar.
“Kementerian telah memulakan kajian serta penelitian melalui sebuah jawatankuasa untuk mengenal pasti kesan memakan gula-gula 'Ghost Smoke' kepada kesihatan kanak-kanak dan hasil kajian itu akan diambil serius pihak kami.
“Sekiranya gula-gula ‘Ghost Smoke’ ini ada kandungan nikotin, kementerian boleh terus keluarkannya daripada pasaran dan mereka yang menjual itu juga boleh diambil tindakan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara di Bernama News Channel hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula itu yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.
Menurut Dr Lee, sekiranya pelabelan gula-gula itu menepati piawaian dan tiada bahan terlarang ditemukan, kementerian tidak mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan dan pengedarannya dalam pasaran.
Bagaimanapun katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam boleh mengambil tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing sekiranya penjualan gula-gula itu didapati tidak mematuhi peruntukan dalam penjualan dan pengedaran.
“Kami semua masih mengkaji sama ada pelabelan dan kandungan yang dipamerkan adalah selamat ataupun sama seperti yang terkandung dalam gula-gula itu.
“Di Kementerian Kesihatan, kami cenderung untuk melarang produk ini di pasaran kerana ia mempunyai unsur galakan kanak-kanak untuk terlibat dalam tabiat merokok apabila dewasa kelak,” katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN