Kompleks pakar pesakit luar penyelesaian kesesakan jabatan kecemasan PPUM



Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Kompleks Pakar Pesakit Luar (KPPL) merupakan satu daripada tiga langkah yang diambil Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mengatasi masalah kesesakan di jabatan kecemasannya, yang terpaksa menerima pesakit tidak kritikal (zon hijau).

Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan PPUM Dr Mohmmad Salleh Yahya berkata kompleks itu yang sedang dibina bersebelahan, akan mengambilalih semua pesakit tidak kritikal dari Jabatan Kecemasan, supaya jabatan itu akan dapat menumpukan kepada kes-kes kritkal (zon merah) dan separa kritikal (zon kuning).

“Jika kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut jadual, kompleks itu akan siap sepenuhnya Oktober ini, katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dr Mohmmad Salleh berkata PPUM juga merancang penubuhan klinik ‘satelit’ di sekitar Petaling Jaya dan mewujudkan unit ujian darah di Jabatan Kecemasan bagi mempercepatkan keputusan ujian darah kepada hanya kira-kira 30 minit.

Beliau yang menguruskan jabatan kecemasan sejak tahun 2003 berkata pelbagai kerenah dan helah pesakit sudah dilihat dan sukar untuk meramalnya, kerana pesakit mempunyai definisi kecemasan yang tersendiri. 

"Sebenarnya banyak sebab kenapa ramai pesakit datang ke jabatan kecemasan, ia sesuatu yang subjektif, kadang-kadang walaupun hanya luka kecil pun pesakit datang dan merujuk kepada jabatan kami untuk mendapatkan rawatan.

"Ada juga yang datang buat 'usikan’ dengan menujukkan tangan biru, walhal itu hanyalah helah semata-mata, atas tujuan apa dia lakukan saya tidak tahu," katanya.

Beliau berkata orang awam harus didedahkan mengenai fungsi utama jabatan kecemasan, kerana ramai yang tidak tahu mengenainya dan harus diberitahu bahawa fungsi jabatan itu ialah untuk rawatan pesakit kritikal dan separa kritikal, seperti kemalangan jalan raya, pesakit kronik dan seumpamanya.

Baru-baru ini, Laporan Audit Negara 2018 Siri 1 melaporkan peningkatan dalam kedatangan pesakit terutamanya bagi kes bukan kecemasan dan kekangan yang dihadapi Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital seluruh negara.

Masalah ini secara langsung menambah beban tugas di Jabatan Kecemasan hospital, selain masalah  kekurangan peralatan perubatan, ruang terhad dan ketidakupayaan sistem ICT, yang dihadapi kebanyakan hospital di negara ini.

Dr Mohmmad Salleh, yang berpengalaman kira-kira 20 tahun di Jabatan Kecemasan berkata orang awam, pihak hospital dan wad pesakit memainkan peranan penting, untuk memastikan hospital di negara ini tidak terbeban dengan masalah kesesakan pesakit.

Mengikut rekod Jabatan Kecemasan PPUM, daripada Januari hingga Jun tahun ini, pesakit zon hijau mewakili kumpulan tertinggi iaitu 23,000 pesakit dewasa dan 12,000 pesakit kanak-kanak; separa kritikal (zon kuning) dewasa (8,800) dan kanak-kanak (12,000); dan kritikal (zon merah) berada dalam kumpulan terendah iaitu dewasa (2,600) dan kanak-kanak (100).

Mengulas lanjut mengenai jabatan itu, beliau berkata pihaknya menerima kujungan dalam skala tinggi bermula pukul 8 malam hingga lewat malam.

Beliau berkata, ‘kelewatan  kemasukan’ berlaku di jabatan kecemasan, sekiranya pesakit yang berada di wad gagal keluar dalam masa tertentu dan ini sekaligus menjejaskan kecekapan untuk memberikan rawatan kepada pesakit sedia ada sebelum dipindahkan ke wad kosong.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pesakit supaya memaklumkan kepada waris terdekat untuk menjemput mereka dalam kadar segera, sejurus pihak hospital memberi kebenaran pulang.

Secara kasar, jabatan kecemasan PPUM mempunyai kira-kira 330 tenaga kerja setiap hari termasuk doktor pakar, pegawai perubatan dan jururawat bagi menguruskan pesakit di setiap zon merah, kuning dan hijau serta mempunyai lapan katil di zon merah, 20 katil di zon kuning dan 26 katil di wad pemerhatian

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2