Laporan awal kematian 12 Orang Asli di Kuala Koh dijangka siap minggu depan



SIK, 27 Julai (Bernama) -- Laporan awal mengenai keputusan ujian forensik terhadap 12 mayat Orang Asli dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dijangka siap minggu depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebaik mendapat laporan itu, beliau akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk sesi penerangan mengenainya.

"KKM (Kementerian Kesihatan) bersama beberapa pihak lain termasuk NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Jabatan Kimia telah bermesyuarat semalam...satu laporan awal sedang disediakan dan akan dibentangkan kepada saya," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Sik di sini, hari ini.

Katanya laporan penuh hanya akan dapat disiapkan apabila KKM menerima keputusan DNA daripada 12 mayat itu, keputusan ujian toksikologi dan logam berat daripada lapan mayat serta keputusan entomologi daripada 10 mayat.

"Proses untuk laporan DNA daripada Jabatan Kimia mengambil masa paling kurang empat minggu lagi untuk siap dan KKM akan membuat kenyataan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan terbaharu," katanya.

Dr Dzulkefly baru-baru dilaporkan berkata 12 kematian Orang Asli Batek di Kampung Kuala Koh - yang meninggal dunia ‘secara misteri’ antara 2 Mei dan 7 Jun - belum dapat diketahui sehingga keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi diperoleh.

Setakat ini, hanya tiga daripada 15 kes kematian itu disahkan akibat demam campak.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata laporan hasil siasatan dan dapatan ujian makmal terhadap bahan kandungan dalam gula-gula ‘ghost smoke’ juga dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengambil perhatian dan kesedaran supaya tidak membenarkan anak-anak mereka makan gula-gula yang tidak jelas mengenai bahan kandungan dan nutrisi di dalamnya.

"Ibu bapa kena ambil tanggungjawab itu, jangan ikut trend, benda yang canggih nampak menarik, janganlah mudah-mudah bagi kepada anak-anak," katanya.

Isu gula-gula Ghost Smoke mendapat perhatian umum setelah video yang menunjukkan beberapa pelajar sekolah ‘menghisapnya’ dan mengeluarkan asap seakan-akan rokok tular di media sosial baru-baru ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2