KKM gubal akta baharu berkaitan vape, rokok elektronik dan shisha

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Gambar fail)

SERI ISKANDAR, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggubal satu akta baharu bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata akta yang dinamakan Akta Tembakau itu dijangka dapat menangani pemasalahan itu secara keseluruhan.

"Kita di kementerian sedang merangka Akta Tembakau yang akan menggarap secara keseluruhan permasalahan itu yang sekarang ini agak terhad dan akan dibentangkan dalam waktu terdekat.

"Pada saat ini ia dalam pemerhatian Penasihat Undang-Undang (PUU) KKM dan bakal dimajukan ke kamar peguam negara dalam waktu terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvensyan Communication For Behavioral Impact (COMBI) sempena Hari Denggi ASEAN dan Anugerah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bebas Denggi peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada gula-gula “Ghost Smoke” (Cool Fruit Powder) akan dimasukkan dibawah akta tersebut, Dzulkefly berkata produk berkenaan masih dalam siasatan.

"Produk tersebut dalam pemerhatian kami dan dalam waktu terdekat kami akan buat penjelasan atas perkara tersebut.

"Kita telah buat siasatan dan ujian sampel telah kita ambil. Mungkin minggu depan kita akan dapat jelaskan posisi pendirian KKM, buat masa ini belum dapat dijelaskan dengan tuntas," katanya.

Sementara itu, menjawab kepada gesaan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye supaya tindakan tegas dan bersepadu perlu diambil bagi mengatasi isu penularan gejala menghisap vape dan rokok elektronik di kalangan pelajar, beliau berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan kementeriannya akan memastikan agar isu itu diatasi.

"Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye yang mengetuai jawatankuasa khas ini sedang melihat kepada persoalan mengenai vape, shisha yang melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), FCTC (Rangka Kerja Kawalan Tembakau) dan farmasi KKM bertanggungjawab melihat produk-produk tembakau yang mengandungi nikotin.

"Kita perlu kepada penguatkuasaan bersama dan kita mahu khususnya menumpukan produk ini tidak akan dapat capaian kepada pelajar sekolah iaitu dibawah 18 tahun dan saya harapkan dalam waktu terdekat kita akan keluarkan kenyataan susulan mengenai perkara ini," katanya.

Pada majlis itu, COMBI Flat Fikri Kemaman, Terengganu dinobatkan sebagai juara kategori inovasi (lisan), COMBI Taman Desa Bidara Baling, Kedah meraih tempat pertama bagi kategori inovasi poster dan Universiti Malaysia Terengganu memenangi pertandingan IPT Bebas Denggi.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018