Jangan pandang enteng risiko strok haba



Oleh Thivyamalini Ramalu

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Acapkali kes melibatkan strok haba yang terpampang di dada akhbar dianggap remeh tetapi ia sebenarnya tidak harus dipandang enteng kerana ia berisiko meragut nyawa.

Terbaru pada 22 Julai lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 10 bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan kira-kira dua jam dalam kereta datuknya dalam satu kejadian di Langkawi, Kedah. Laporan awal menunjukkan punca kematian berkemungkinan berikutan strok haba.

Awal 2017 di Kota Bharu, Kelantan, pula dua remaja lelaki ditemui sudah meninggal dunia dalam sebuah kereta dipercayai disebabkan strok haba atau kepanasan melampau dalam kenderaan.

Pada Julai 2013, Bernama pernah melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun maut akibat lemas setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih lima jam dalam kereta di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya.

Laporan bedah siasat oleh Hospital Serdang mengesahkan mangsa meninggal dunia susulan strok haba. 

Apa itu strok haba? Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik Hospital Pakar KPJ Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail, ia merupakan spektrum terakhir daripada kekejangan panas ke keletihan panas akhirnya strok haba, yang disebabkan suhu badan terlampau tinggi melebihi 40 darjah Celsius.

Beliau berkata golongan yang cenderung mendapat strok haba adalah kanak-kanak memandangkan mereka kurang berpeluh dan jarang berrasa dahaga sebelum hidrasi berlaku.

“Kanak-kanak aktif meskipun suhu persekitaran tinggi. Warga emas yang kurang minum air ketika persekitaran panas juga berisiko mendapat gejala ini.

“Kes strok haba berlaku apabila suhu persekitaran meningkat. Di Malaysia, suhu persekitaran meningkat pada Julai dan Ogos. Ini masanya berlaku strok haba lebih-lebih lagi jika kanak-kanak sekolah bermain atau bersukan di luar pada tengah hari,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Dr Zulkifli menjelaskan antara simptom awal strok haba adalah keletihan dan lenguh serta berlaku kekejangan pada kaki atau lengan.

“Strok haba tanpa rawatan yang cepat boleh merosakkan organ badan seperti otak, jantung, ginjal dan hati serta otot,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar aktiviti luar yang padat dilakukan pada awal pagi atau lewat petang dan mengelak melakukan aktiviti pada tengah hari.

"Lebihkan minum air untuk kekalkan hidrasi dan kenali gejala awal kekejangan panas atau keletihan,” katanya.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan mengenai tip rawatan di tempat kejadian, mangsa perlu dialihkan daripada sinaran matahari melampau ke tempat berbumbung atau mempunyai hawa dingin.

Seterusnya, mangsa perlu disejukkan dengan selimut lembap atau disiram dengan air sejuk dan diberikan udara segar.

"Sekiranya mangsa sedar, berikan minuman sejuk serta segar dan dapatkan bantuan perubatan melalui talian 999,” kata portal itu.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018