Mesej viral mengenai 70 kes tibi positif tidak benar



JOHOR BAHRU, 1 Ogos (Bernama) -- Mesej viral berkenaan 70 kes tibi kahak positif di beberapa kawasan di Johor Bahru termasuk Kampung Melayu Majidee Baru dan Pandan yang tersebar di media sosial sejak semalam adalah tidak benar.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Kesihatan Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata untuk makluman, dari bulan Januari hingga Julai 2019, hanya terdapat 10 kes tibi dilaporkan di kawasan berkenaan dan kesemua kes tersebut telah diberikan rawatan dan dipantau status kesihatan mereka.

“Jabatan ini juga ingin memaklumkan bahawa tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor yang menghalang pergerakan awam termasuk ke kawasan tersebut disebabkan penyakit Tibi mahupun penyakit berjangkit yang lain.

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor ingin memaklumkan bahawa mesej tular tersebut adalah tidak benar,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Selahuddeen berkata jabatan itu juga menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu demi mengelakkan timbulnya kekeliruan dan situasi panik dalam kalangan masyarakat.

Semalam tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial lain mengenai terdapat lebih 70 pembawa tibi positif di beberapa kawasan-kawasan di Johor Bahru serta nasihat supaya tidak ke kawasan berkenaan bagi mengurangkan risiko jangkitan iaitu penyebaran melalui udara.

Menurut Jabatan Kesihatan, penyakit tibi adalah  disebabkan oleh kuman Mycobacterium Tuberculosis (kuman tibi), yang mana disebarkan melalui cecair mulut dan hidung pesakit tibi apabila mereka batuk, bercakap atau bersin.

Pesakit yang telah disahkan penyakit tibi perlu mendapatkan rawatan segera dan pengambilan ubat rawatan tibi hendaklah sehingga lengkap mengikut saranan doktor yang merawat, agar tidak menular kepada orang lain.

Penyakit tibi merupakan salah satu penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan kepada pihak kesihatan dan Jabatan Kesihatan sentiasa melakukan pemantauan kejadian penyakit tersebut.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2