Kaitan Tiroidisme Dengan Penyakit Jantung

Dr Alexander Tan Tong Boon, Pakar Runding Endokrinologi di Sunway Medical Centre. (Gambar ihsan Sunway Medical Centre)

Oleh Dr Alexander Tan Tong Boon dan Dr Mohd Kamal bin Mohd Arshad

Dr Alexander Tan Tong Boon adalah Pakar Runding Endokrinologi dan  Dr Mohd Kamal bin Mohd Arshad, Pakar Runding Kardiologi di Sunway Medical Centre

KUALA LUMPUR (Bernama ) -- Kadangkala, sesuatu yang paling kecil boleh mempengaruhi struktur yang jauh lebih besar.

Sebagai contoh, kelenjar tiroid. Kelenjar berbentuk rama-rama yang terletak di hadapan leher ini berfungsi merembeskan hormon tiroid. Hormon ini memainkan peranan penting dalam tumbesaran, perkembangan dan metabolisme badan, yang turut menentukan kadar fungsi organ di dalam badan.

Bagaimanapun, apa yang akan berlaku jika kelenjar tiroid tidak dapat menghasilkan tahap hormon optimum yang diperlukan oleh badan? Apakah kesannya pada organ dalaman seperti jantung kita?

 


Dr Mohd Kamal bin Mohd Arshad, Pakar Runding Kardiologi di Sunway Medical Centre. (Gambar ihsan Sunway Medical Centre)

Apakah Hipertiroidisme dan Hipotiroidisme?

Apabila terdapat gangguan fungsi tiroid, suhu dan berat badan, pembuangan air, saraf, otot dan banyak lagi fungsi badan akan terjejas. Kesannya berbeza-beza bergantung sama ada terdapat lebihan atau kekurangan hormon tiroid. Hipertiroidisme ialah keadaan di mana kelenjar tiroid adalah terlebih aktif, menghasilkan lebih banyak hormon tiroid daripada yang diperlukan oleh badan. Juga dikenali sebagai tirotoksikosis, ia menyebabkan individu yang mengalami keadaan ini untuk berpeluh secara berlebihan, tidak tahan panas dan kehilangan berat badan, selain beberapa tanda dan gejala lain. Ini mengakibatkan organ pesakit hipertiroidik untuk bekerja pada kadar yang lebih pantas.

Dalam hipertiroidisme, kelenjar tiroid kurang aktif menghasilkan hormon tiroid yang tidak mencukupi untuk badan. Individu yang mengalami keadaan ini mungkin mendapati mereka rata-rata berasa lesu, tidak tahan suhu dingin, mengalami otot dan sendi yang sakit, dan terasa kembung selain daripada tanda dan gejala lain.

Oleh itu, organ penghidap hipotiroidisme akan berfungsi pada kadar yang lebih perlahan. Walaupun terdapat pelbagai punca, umpamanya kesan ubat tertentu, punca paling umum ialah masalah autoimun. Dalam kes hipertiroidisme, ia disebabkan Penyakit Graves manakala bagi hipotiroidisme, berpunca daripada Penyakit Hashimoto.

 

Hormon Tiroid dan Jantung

Jadi apakah hubung kait antara gangguan ini dengan jantung? Dua masalah tiroid ini boleh secara langsung dan tidak langsung mempengaruhi jantung menerusi reseptor hormon tiroid di dalam otot jantung dan salur darah.

Hormon tiroid boleh meningkatkan daya pengecutan otot, dan juga meningkatkan kadar jantung. Hormon ini juga bertanggungjawab mempengaruhi output jantung dan tekanan arteri dengan mengurangkan ketegangan salur darah.

Selain itu, hormon secara tidak langsung merangsang sistem hormon renin-angiotensin, yang memainkan peranan penting dalam mengawal isi padu darah dan menyerap semula natrium di dalam buah pinggang menyebabkan peningkatan dalam isi padu plasma darah. Semua perubahan in dalam sistem peredaran, akan meningkatkan output kerja jantung.

Justeru, sebarang peningkatan atau pengurangan hormon tiroid secara jangka panjang akan menjejaskan jantung, mencetus masalah kardiovaskular baharu di dalam pesakit atau memburukkan lagi masalah jantung sedia ada.

Gejala dan tanda yang menunjukkan pesakit hipertiroidik mengalami masalah jantung akan menjadi lebih ketara; di mana mereka mungkin melaporkan palpitasi (jantung berdebar), sakit dada apabila melakukan kerja lebih berat, sesak nafas dan bengkak pada kaki.

Masalah jantung yang dikaitkan dengan hipertiroidisme termasuk kadar denyutan jantung pantas; hipertensi sistolik dan kegagalan jantung akibat pengenduran otot jantung yang terjejas; pertambahan jisim otot jantung; dan tekanan darah lebih tinggi pada paru-paru. Disebabkan jantung hipertiroidik perlu bekerja lebih keras, jantung akhirnya akan mengalami kardiomiopati jika tidak dirawat.

Tanda dan gejala hipotiroidisme adalah tidak begitu ketara berbanding hipertiroidisme tetapi serupa iaitu pesakit akan mengalami sesak nafas, bengkak kaki dan sakit dada apabila melakukan kerja lebih berat. Pesakit yang mengalami keadaan ini juga mungkin menghadapi efusi perikardium; pengumpulan bendalir dalam pelapik jantung.

Penghidap hipotiroidisme mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit kardiovaskular seperti penyakit arteri koronari dan strok kerana paras kolesterol LDL lebih tinggi, peningkatan ketebalan salur darah karotid dan hipertensi, yang semuanya merupakan faktor risiko diketahui bagi penyakit kardiovaskular.

 

Pengurusan dan Rawatan

Walaupun terdapat kes di mana hipertiroidisme dan hipotiroidisme yang dialami secara sendiri, sebahagian besar daripada pesakit mewarisi keadaan ini. Oleh yang demikian, tidak ada jalan untuk mencegah penyakit daripada berlaku, terutamanya jika seseorang berkecenderungan mengalaminya.

Di samping itu, bagi pesakit dengan penyakit jantung sedia ada, mereka akan mendapati gejala mereka bertambah teruk jika mengalami sebarang penyakit tiroid. Bagaimanapun, jika keadaan disahkan awal dan dengan tepat, ia boleh diuruskan dengan baik. Kesan sampingan ke atas jantung masih boleh dipulihkan pada peringkat ini jika gangguan tiroid dirawat.

Pesakit yang mengambil ubat tertentu mengandungi iodin seperti amiodarone seharusnya memerhatikan secara rutin dan membincangkan gejala mereka dengan doktor kerana ubat-ubat ini boleh mengundang masalah tiroid.

Pengambilan makanan laut boleh memburukkan lagi masalah hipertiroidisme kerana makanan yang mengandung iodin akan digunakan oleh tiroid untuk menghasilkan lebih banyak hormon. Pesakit yang mengalami hipertiroidisme teruk juga dinasihatkan untuk melakukan senaman atau aktiviti fizikal lebih ringan sehingga keadaan mereka terkawal. Pesakit dengan denyutan jantung yang pantas secara abnormal walaupun semasa rehat boleh memburukkan keadaan penyakit mereka dengan aktiviti fizikal berat, termasuk aritmia atau angina.

Penghidap hipotiroidisme perlu memastikan bahawa ubat levotiroxine mereka diambil pada waktu pagi dengan perut kosong, sekurang-kurangnya setengah jam sebelum sarapan. Ubat ini tidak diserap dengan baik dan sebaik-baiknya tidak harus dicampurkan dengan pemakanan tambahan atau ubat lain.

Pesakit dengan gangguan tiroid perlu memahami bahawa mereka akan mengambil ubat sepanjang hayat dalam kebanyakan kes untuk mengawal gangguan tiroid. Selain daripada ubat, pengurusan gaya hidup yang baik perlu dilakukan secara serentak oleh pesakit jantung.  Dengan berbuat demikian, mereka mengurangkan kesan penyakit tiroid ke atas kesihatan mereka.

Contoh pengurusan yang dimaksudkan ialah meminta pesakit yang mengalami kegagalan jantung untuk mengehadkan pengambilan cecair harian, penghidap hipertensi untuk mengurangkan pengambilan garam dan mereka yang mempunyai denyutan jantung pantas yang abnormal agar mengurangkan pengambilan kopi mereka.

Di Malaysia, kelaziman hipertiroidisme berasaskan kajian yang dilakukan ialah 3.4 peratus penduduk yang disahkan menghidap hipertiroidisme dan 2.1 peratus mengalami hipothroidusme (Shahar et al.2017).

Bagaimanapun, persoalan sebenar ialah berapa ramai individu dengan keadaan ini yang tidak didiagnos, lebih-lebih lagi memandangkan kes penyakit jantung yang semakin meningkat?

Implikasinya agak membimbangkan terutamanya apabila dilihat dalam jangka panjang. Gangguan tiroid yang tidak disahkan berpotensi berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih membahayakan dan kronik; dan pada waktu itu kesannya terhadap jantung dan organ lain tidak boleh dibalikkan lagi. Justeru, menjalani pemeriksaan berkala ialah langkah bijak untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan kita berada pada tahap optimum.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018