KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Pengenaan cukai ke atas produk minuman bergula diharap dapat mengubah tabiat pengguna untuk memilih minuman kurang manis sekali gus mengurangkan beban kerajaan bagi merawat masalah obesiti dan penyakit berkaitan, kata Kementerian Kewangan.
Katanya Malaysia membelanjakan RM4 bilion hingga RM8 bilion untuk merawat masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit dari 2010 sehingga 2016.
“Secara tidak langsung, ia (cukai ke atas minuman bergula) akan menggalakkan industri untuk menghasilkan dan mempromosikan lebih banyak produk minuman sihat sekali gus mengurangkan prevalen obesiti dan penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan dalam kalangan masyarakat,” katanya menjawab soalan lazim mengenai pengenaan cukai berkenaan di sini, hari ini.
Kementerian berkata hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 menunjukkan prevalen masalah berat badan dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas di Malaysia adalah 47.7 peratus dengan 30 peratus berlebihan berat badan manakala 17.7 peratus adalah obes.
“Ini bermakna, hampir separuh daripada orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan, peningkatan sekali ganda berbanding hanya 21.1 peratus pada 2006,” katanya.
Katanya dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga pertama bagi masalah berat badan dan obei.
Kementerian berkata hasil tinjauan berkenaan turut mendapati pada tahun 2015, 17.5 peratus atau 3.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis, semakin meningkat berbanding 11.6 peratus pada 2006.
Kementerian berkata cukai ke atas minuman bergula telah dilaksanakan oleh 38 buah negara dan hasil kajian yang dijalankan di negara itu menunjukkan penurunan permintaan dan pengambilan minuman manis bergula yang dikenakan cukai.
“Negara seperti Perancis, beberapa negeri di Amerika Syarikat, Hungary dan Mexico telah mengenakan cukai eksais sebanyak 10 peratus yang menyebabkan pengurangan pengambilan gula sebanyak 10 hingga 12 peratus dan prevalen berlebihan berat badan dan obesit di negara tersebut juga telah berkurangan,” katanya.
Di rantau ini, katanya Brunei telah melaksanakan cukai berkenaan pada April 2017.
Pada 1 Julai lepas, kerajaan mula melaksanakan cukai minuman bergula iaitu duti eksais sebanyak 40 sen seliter ke atas minuman manis yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter.
Kadar sama dikenakan bagi produk minuman berasaskan susu yang mengandungi laktosa dengan kandungan gula melebihi tujuh gram bagi setiap 100 mililiter dan jus buah-buahan dan jus sayur-sayuran dengan kandungan gula melebihi 12 gram bagi setiap 100 mililiter.
Bagaimanapun, minuman yang mengandungi kandungan gula di bawah nilai ambang dan minuman tidak sedia diminum seperti minuman pracampuran dikecualikan daripada cukai berkenaan.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN