Penduduk Kampung Perigi Acheh bimbang hidupan Sungai Kopok mati akibat pencemaran



JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Penduduk Kampung Perigi Acheh di Pasir Gudang di sini, bimbang Sungai Kopok yang menjadi nadi kehidupan mereka, tercemar setelah air menjadi kehitaman dan berbau busuk.

Malahan, aliran air Sungai Kopok yang menghubungkan antara Sungai Kim Kim dan Sungai Daing itu juga menyebabkan banyak hidupan sungai mati akibat pencemaran teruk, sejak awal tahun ini.

Penduduk juga mendakwa keadaan Sungai Kopok yang dahulunya kaya dengan udang dan ketam itu diburukkan lagi dengan kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Mac lepas.

Ketua kampung Othman Adon berkata sungai sepanjang 15 kilometer itu dipercayai turut tercemar ekoran sisa buangan daripada kilang-kilang berdekatan.

Beliau berkata pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, namun, tiada penyelesaian sehingga ini.

"Kalau lihat selepas hujan, air akan kehitaman dan timbul bau busuk yang menusuk hidung. Ia juga terjadi apabila air surut tetapi apabila air pasang, warna hitam itu tidak nampak sangat.



"Kami mahu pihak berwajib bantu selesaikan masalah ini, khususnya para nelayan yang terjejas dan hilang sumber pendapatan. Dahulu, kampung ini meriah dengan orang luar yang datang membeli ikan, tetapi sekarang tidak lagi,” katanya yang ditemui pemberita di Jeti Kampung Perigi Acheh, hari ini.

Othman berkata, lazimnya kanak-kanak bermain air dan berenang di kawasan jeti di kampung itu, namun, kini tidak lagi kerana khuatir akan menjejaskan kesihatan mereka.

Sementara itu, tinjauan pemberita dan jurugambar di sekitar hulu Sungai Daing yang dianggarkan sepanjang lebih satu kilometer dan terhubung antara Sungai Kopok turut mendapati ia kelihatan kehitaman, berbuih, berminyak dan terdapat cebisan bendasing terapung berwarna hitam di permukaan air.

Seorang nelayan, Isamadi Abd Rahman, 45, yang membawa pemberita dan jurugambar ke tempat itu berkata disebabkan pencemaran itu, dia dan rakan-rakan terpaksa bekerja sambilan untuk menyara keluarga.

"Kami kini terpaksa keluar ke kawasan lain untuk mencari ikan. Kalau dahulu, kami tidak perlu keluar dan cari hidupan di sungai ini. 

"Bantulah kami nelayan di sini, banyak nelayan terpaksa bekerja kilang dan bertukang disebabkan sungai yang tercemar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Johor Wan Abdul Latiff Wan Jaffar yang dihubungi Bernama berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung keadaan Sungai Kopok yang tercemar daripada mana-mana pihak.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2