Kos rawat pesakit akibat merokok empat kali ganda hasil cukai rokok

Dr Lee Boon Chye

SHAH ALAM, 20 Ogos -- Kerajaan terpaksa membelanjakan sekitar RM16 bilion setahun bagi merawat pesakit yang menderita pelbagai penyakit akibat tabiat merokok, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata jumlah perbelanjaan itu jauh lebih tinggi berbanding kadar kutipan cukai rokok yang diperoleh kerajaan iaitu dianggarkan kira-kira RM4 bilion setahun.

Katanya jumlah perbelanjaan berkenaan merupakan anggaran kos rawatan yang diperoleh daripada hospital dan klinik kerajaan serta swasta ke atas pesakit yang menghidap pelbagai jenis penyakit ekoran tabiat tidak sihat itu.

“Bagi setiap RM1 yang diperoleh daripada hasil cukai rokok, kerajaan terpaksa berbelanja sebanyak RM4 pula untuk merawat pesakit yang menghidap pelbagai penyakit berpunca daripada merokok.

“Seperti yang kita tahu, merokok merupakan antara punca kepada beberapa penyakit antaranya kanser, masalah jantung, dan masalah paru-paru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog Jaringan Pintar Program Promosi Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi berkenaan adalah Pengarah Bahagian Pendidikan KKM, Suraiya Syed Mohamed.

Mengulas mengenai program berhenti merokok yang dijalankan oleh KKM, Dr Lee berkata bagi tempoh 2012 hingga 2018, seramai 73,836 perokok telah menyertai program berkenaan dan 23 peratus atau 16,930 individu berjaya berhenti merokok.

“Terdapat 46 hospital kerajaan dan 731 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara menyediakan perkhidmatan berhenti merokok dan kementerian berharap agar perkhidmatan ini dapat dihebahkan kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Dr Lee dalam ucapannya berkata masalah merokok merupakan antara agenda nasional yang penting untuk disebar luaskan kepada masyarakat berikutan terdapat golongan perokok tegar yang sukar diyakinkan untuk berhenti daripada tabiat itu.

“Disebabkan itu, pihak kementerian telah mewartakan 23 kawasan sebagai tempat larangan merokok dan paling terkini adalah usaha menetapkan jarak tiga meter daripada premis-premis makanan sebagai koordinat larangan merokok.

“Pewartaan kawasan larangan merokok terutama di tempat makan adalah sebahagian usaha menyelamatkan individu bukan perokok daripada terus terdedah kepada asap rokok kerana pengunjung kedai makan dan restoran terdiri daripada masyarakat pelbagai peringkat usia dan jantina,” katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2