SANDAKAN, 21 Ogos -- Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Persatuan Kumpulan Kesedaran AIDS Sabah (Saga) memohon sokongan orang ramai untuk majlis makan malam gala bulan hadapan bagi mengumpul dana buat pesakit HIV atau penyakit kronik lain yang berhadapan masalah kewangan dalam mendapatkan rawatan di negeri ini.
Selepas melawat pesakit yang dikenal pasti menerusi Program Akses Kesihatan Sabah (Shape) di sini semalam, Pengurus Program Saga Zarina Yahya berkata Sabah memerlukan program seperti Shape kerana ia dapat membantu meningkatkan akses kepada rawatan pesakit, khususnya mereka yang tinggal jauh dari hospital kerajaan dan klinik kesihatan.
“Shape merupakan inisiatif Dr Zaiton Yahya, pengasas Saga dan seorang doktor yang melihat kesusahan dialami pesakitnya untuk tiba ke klinik bagi mendapatkan rawatan.
“Jadi, kami melancarkan projek perintis Shape di Sandakan kerana kami ingin melihat sejauh mana ia boleh menjangkau mereka yang memerlukan di sini serta berapa banyak sokongan kami boleh dapat dan ia sangat baik setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan itu di sini.
Turut hadir Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong dan Pengarah Eksekutif MAF Jasmin Jalil.
Projek perintis Shape dilancarkan di sini tahun lepas melibatkan 63 pesakit.
Zarina berkata dengan kejayaan majlis makan malam gala dikenali sebagai ‘Red Ribbon KK Gala Dinner’ di Kota Kinabalu pada 29 Sept ini, Saga berharap program Shape dapat diperluaskan ke daerah lain di Sabah seperti Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.
Maklumat lanjut mengenai majlis makan malam itu boleh diperoleh dengan menghubungi Saga dan MAF, katanya.
Sementara itu, Wong berkata beliau bersyukur dapat menyertai lawatan ke atas beberapa pesakit yang turut menerima barangan keperluan dapur dan bantuan kewangan untuk meringankan kos pengangkutan mereka ke hospital untuk rawatan.
“Setiap keluarga yang ditemui hidup dalam kemiskinan dan saya pasti akan cuba menyalurkan bantuan kewangan, tetapi kadangkala pada satu masa (bantuan kewangan) tidak mencukupi. Perlu ada perancangan jangka panjang oleh kerajaan untuk membantu orang seperti mereka,” katanya.
Wong berkata seorang ibu dengan tiga anak yang menghidap talasemia yang dilawatinya, mahukan sebuah bot untuknya keluar menangkap ikan di laut sekali gus dapat menjana pendapatan buatnya dan meningkatkan ekonomi keluarga, yang pada masa ini hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai pengawal keselamatan.
Ahli Parlimen itu turut sedih dengan keadaan kanak-kanak berusia 12 tahun, Cyle Addel yang menderita kanser hidung sehingga menyebabkan beliau tidak dapat bersekolah selama beberapa hari untuk menjalani rawatan di Hospital Duchess of Kent di sini, lebih 40 km dari rumahnya.
Beliau turut bertemu dengan seorang pesakit positif HIV berumur 57 tahun yang tinggal di sebuah masjid di kampungnya setelah mengetahui bahawa ketagihan dadahnya menyebabkan dia dijangkiti penyakit itu tujuh tahun lepas.
Wong menegaskan bahawa pentingnya kesedaran HIV dalam kalangan orang ramai apabila mendapati terdapat pesakit yang memahami kesan jangkitan HIV yang tidak dirawat, tetapi lewat menyedari betapa seriusnya penyakit itu perlu ditanggung.
Dua wanita, kedua-duanya berusia 40-an yang ditemui ketika lawatan itu berkata mereka positif HIV ketika bertemu pasangan masing-masing yang negatif HIV sebelum berkahwin, tetapi memilih untuk tidak menggunakan sebarang perlindungan ketika melakukan hubungan seksual meskipun pasangan masing-masing mengetahui risiko dijangkiti.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN