Avisena sasar buka tiga hospital baharu dalam tempoh lima tahun



SHAH ALAM, 22 Ogos -- Kumpulan Avisena (Avisena) menyasar membuka tiga hospital baharu dengan gabungan kapasiti 540 katil yang menawarkan pelbagai kepakaran perubatan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Naib Presiden Kewangan dan Operasi Subsidiari Avisena, Ahmad Tazilan Mokhtar berkata dua daripada hospital baharu yang dirancang itu akan dibangunkan di Lembah Klang manakala sebuah lagi di Nilai, Negeri Sembilan.

“Satu (hospital) kita akan perluaskan Hospital Pakar Avisena di sini dengan membina bangunan baharu 14 tingkat di sebelahnya yang menawarkan 140 katil. Seterusnya, kita akan bina hospital baharu berkemungkinan di kawasan Melawati, Kuala Lumpur dengan 250 katil. Satu lagi (hospital baharu) berkapasiti 150 katil kita rancang untuk buka di Nilai.

“Bagaimanapun, lokasi sebenar belum dapat diputuskan kerana kita masih mencari lokasi yang betul-betul sesuai,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Avisena yang bermula sebagai sebuah pusat perubatan di dua lot kedai di Seksyen 9 di sini sekitar tahun 1996 kini berkembang dan mempunyai dua hospital pakar di Seksyen 14 iaitu Hospital Pakar Avisena, yang dibuka lebih 11 tahun lepas serta Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena, sejak Mei tahun ini.

Hospital Pakar Avisena mempunyai 118 katil dengan 54 pakar perubatan pelbagai bidang manakala hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak itu pula menawarkan khidmat 61 pakar perubatan dan 133 katil.

Selain itu, rangkaian hospital swasta berkenaan turut mempunyai sebuah Pusat Dialisis Avisena juga terletak di Seksyen 14 di sini yang dilengkapi 25 mesin dialisis untuk memenuhi keperluan pesakit.

Ahmad Tazilan berkata dengan pembukaan hospital baharu itu, syarikat tersebut yakin dapat meraih pendapatan RM225 juta daripada perkhidmatan pelbagai bidang kepakaran yang ditawarkan di kedua-dua fasiliti itu.

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Avisena, Mazidah Umar berkata pembukaan hospital pakar terbaharu berkenaan adalah susulan daripada permintaan tinggi pasaran masa kini yang mana fasiliti tersebut menawarkan perkhidmatan kesihatan menyeluruh kepada golongan wanita serta bidang pediatrik.

“Sebelum ini, kapasiti katil di Hospital Pakar Avisena tidak dapat menampung jumlah pesakit yang tinggi. Jadi kita lihat permintaan itu ada. Biasanya kalau sebut hospital wanita, masyarakat akan lihat ia sebagai fasiliti untuk menyambut kelahiran anak saja namun di hospital baharu ini, kita tawarkan lebih daripada itu.

“Selain menawarkan pelbagai kepakaran perubatan komprehensif berkaitan wanita dan kanak-kanak, hospital baharu ini dilihat mampu menarik minat pasaran menerusi konsep butik ekslusifnya berbanding hospital lain yang mana ia memberi lebih keselesaan kepada pesakit serta keluarga mereka,” katanya.

Mengulas mengenai persaingan susulan pertumbuhan banyak hospital swasta masa kini,  Pengarah Kanan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Avisena, Nor Hafidah Mustapha berkata fasiliti terbaharu Avisena itu disifatkan sebagai sebuah hospital yang unik kerana menawarkan pelbagai bidang kepakaran secara lebih terperinci.

Katanya, harga bilik yang ditawarkan di hospital pakar wanita dan kanak-kanak itu juga adalah berbaloi dengan perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan.

“Contohnya pakar bedah laparoskopi kanak-kanak di hospital ini, beliau merupakan antara tiga pakar yang ada di negara ini dalam bidang tersebut.

“Malah bilik satu katil kami hanya berharga RM190 satu malam berbanding hospital swasta lain yang meletakkan kadar lebih daripada itu. Keluarga pesakit pula pastinya lebih selesa kerana hospital ini menyediakan ruang menunggu ekslusif selain pelbagai kemudahan lain.

“Bagi ibu-ibu yang pastinya penat menjaga anak-anak kecil yang sakit pula, hospital ini menyediakan ruangan rehat khas dilengkapi kerusi urut iaitu Anjung Bonda hanya untuk para ibu melepaskan lelah,” kata Nor Hafidah.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2