Pencegahan ketagihan gajet perlu bermula dari rumah - pakar psikiatri

KUALA LUMPUR, 26 Ogos -- Ibu bapa perlu mengawal diri daripada menghabiskan terlalu banyak masa dengan gajet dan berusaha menggunakannya secara sihat untuk mengelak anak-anak turut terpengaruh dan mengalami ketagihan kepada gajet sejak kecil.

Pakar psikiatri dan pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zul Azlin Razali berkata seperti dadah dan alkohol, ketagihan gajet yang terlalu kuat adalah berbahaya kerana boleh menyumbang kepada penyakit mental dan perlu dicegah di peringkat awal usia kanak-kanak.

“Anak-anak lebih mudah untuk belajar dan mengamalkan sesuatu perkara dengan mengambil contoh daripada ibu bapa. Jadi ibu bapa perlu ubah terlebih dahulu.

“Kalau ibu bapa balik kerja pun asyik hadap telefon bimbit, adalah tidak adil untuk serah kepada guru atau badan bukan kerajaan untuk ubah anak-anak mereka,” katanya kepada Bernama semasa ditemui selepas acara Bumi Manusia yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata antara langkah penting yang ibu bapa harus amalkan ialah menggalakkan anak-anak untuk berinteraksi dan bersosial secara nyata setiap hari.

Katanya selain mengehadkan masa penggunaan gajet tidak lebih daripada dua jam, ibu bapa juga perlu menggalak anak-anak untuk melakukan aktiviti fizikal antaranya berbasikal, berlari, dan bermain alat mainan.

Beliau menjelaskan antara masalah utama yang timbul akibat ketagihan gajet ialah fenomena ‘phubbing’, iaitu kecenderungan untuk fokus kepada gajet berbanding berinteraksi bersama orang yang wujud di depan mata. 

“Dengan terlalu fokus kepada gajet, kita sudah tidak ada komunikasi yang manusiawi, di mana ada penglibatan bahasa tubuh badan, reaksi muka, dan intonasi suara.

“Itu kemanusiaan yang kita telah hilang hari ini. Bila kemanusiaan sudah tidak ada, maka itu yang menyebabkan penyakit mental dan kebejatan sosial yang lain mudah untuk datang,” katanya.

Beliau juga berkata sifat sentiasa mahukan pengiktirafan dan penerimaan orang lain, terutama dalam kalangan remaja, mempunyai hubung kait yang rapat dengan perkembangan media baharu hari ini.

“Segelintir kecil mereka (remaja) cuba tarik perhatian kerana mahu kekal relevan dalam jaringan sosial alam maya. Sebenarnya bukanlah sifat mereka begitu, tetapi media baharu sudah membentuk mereka sebagai generasi yang sentiasa mahukan pengiktirafan dan penerimaan daripada orang lain, katanya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.


UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 1