Masalah kesihatan mental juga melibatkan remaja - Lee



KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kejadian seorang pelajar dikatakan menggantung diri selepas tidak dapat menghadapi tekanan disebabkan kerja sekolah yang terlalu banyak harus menyedarkan pihak-pihak berkaitan untuk bertindak kerana realiti masalah kesihatan mental juga mempengaruhi remaja, kata Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Justeru, beliau berkata lebih banyak kempen kesedaran mengenai kesihatan mental perlu dianjurkan di sekolah dan kerajaan juga harus melatih lebih banyak kaunselor dan ahli psikologi untuk membantu mereka yang mengalami stres, kegelisahan dan kemurungan.

"Saya sedih dengan tragedi ini. Perlu ada pendekatan kesihatan awam yang holistik oleh kerajaan yang mengambil pertimbangan kolaborasi lintas sektoral dan melatih NGO untuk menangani masalah sosial dan faktor psikososial yang menyumbang kepada kesihatan mental yang tidak baik.

"Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan juga perlu bekerjasama untuk membantu menangani masalah kesihatan mental di kalangan golongan muda," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Lee yang juga ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental berkata statistik polis menunjukkan bahawa terdapat lebih 500 kes orang bunuh diri atau cuba membunuh diri setiap tahun dalam tempoh empat tahun yang lalu.

Sejumlah 1,696 orang juga meninggal dunia kerana bunuh diri, manakala 625 gagal untuk bunuh diri antara 2014 dan Februari tahun lepas dan lebih ramai orang, terutama golongan belia, telah menghubungi Befrienders KL untuk berkongsi masalah mereka. Ia menerima 5,217 e-mel dan 26,927 panggilan pada 2017 berbanding 3,443 e-mel dan 24,821 panggilan pada 2016.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 mengenai kesihatan mental di kalangan belia mendedahkan bahawa salah satu daripada lima remaja berasa tertekan; dua daripada lima berasa bimbang; 11.2 peratus mempunyai idea untuk bunuh diri dan 10.1 peratus cuba bunuh diri, katanya.

Pada malam Sabtu lepas, seorang pelajar ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai bertindak menggantung dirinya dalam bilik air rumahnya di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, Georgetown, Pulau Pinang.

Siasatan polis mendapati remaja terbabit dikatakan kurang berminat untuk belajar selain prestasi pelajarannya yang agak lemah termasuk sering merungut kepada ibu bapanya mengenai kerja sekolah yang terlalu banyak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ikatan Guru-guru Muslim Malahysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata aspek keagamaan perlu diterapkan kepada anak-anak sejak di bangku sekolah rendah lagi agar mereka mempunyai sahsiah yang mantap. 

Beliau berkata guru-guru perlu berperanan mengenal pasti kelebihan dan kelemahan anak murid serta kembali menghayati falsafah pendidikan negara yang bertujuan membangunkan potensi insan secara seimbang.

"Tugas guru bukan sekadar mencapai markah A tetapi juga sebagai pendidik. Pada masa sama ibubapa perlu memperuntukkan masa berbincang dengan pihak sekolah jika ada sebarang masalah berkaitan dengan pembelajaran anak- anak.

"Selain itu pihak PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) juga boleh menjadi penghubung antara ibubapa dan pihak sekolah. Antara usaha yang boleh dipertingkat di sekolah ialah memastikan peranan kaunselor di sekolah menjadi penting bagi membantu diri murid-murid terutama penekanan kepada aspek kerohanian." katanya.

Ketua Unit Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd Saad berkata ibu bapa perlu lebih peka terhadap simptom-simptom gangguan kesihatan mental yang dialami oleh anak mereka, khususnya golongan usia remaja.

Fauziah berkata tanda-tanda gangguan kesihatan mental termasuklah hilang minat terhadap aktiviti harian, menyendiri, perubahan kelakuan dan perubahan selera makan.

Fauziah berkata pendekatan yang digunakan ibu bapa turut memainkan peranan penting untuk melegakan tekanan yang dihadapi anak-anak.

"Ibu bapa perlu alert dengan tanda-tanda ini dan dekati anak mereka dengan pendekatan yang lebih lembut atau memujuk berbanding pendekatan memberi arahan.

"Misalnya jika anak ada masalah pembelajaran, gunakan pendekatan memberi bantuan seperti tingkatkan fahaman mereka dalam pembelajaran dan bukannya memberi arahan mendesak mereka untuk lebih cemerlang atau merotan," katanya kepada Bernama.

Di peringkat sekolah pula, Fauziah berkata pihak sekolah boleh menganjurkan program-program berkaitan kesihatan mental termasuklah melakukan saringan kesihatan mental pelajar.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018