Penghuni Puspen Tiang Dua mahu 'merdeka' daripada dadah



MELAKA, 27 Ogos (Bernama) -- Kemerdekaan membawa makna cukup besar kepada negara dan rakyat iaitu bebas daripada penjajah, namun bagi penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Tiang Dua di sini, erti merdeka sebenar ialah membebaskan diri daripada belenggu dadah.

Bagi seorang daripada penghuni Puspen yang ingin dikenali sebagai Bujang, 30, dia telah tiga kali ditahan di Puspen kerana terjebak dalam aktiviti penyalahgunaan dadah bermula dengan hanya ingin mencuba dan terpengaruh dengan rakan sejak berusia 13 tahun.

"Apabila memasuki sekolah menengah, pergaulan saya semakin bebas kerana suka merayau. Bermula dari itu saya mengenali kawan yang lebih tua daripada saya yang kebanyakannya berusia 18 tahun dan kami mula duduk melepak, kenal dadah dan minum arak.

"Saya menyesal kerana memusnahkan diri sendiri dan tidak dapat berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. Saya berharap agar selepas ini saya boleh merdeka dan membebaskan diri daripada najis dadah," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Puspen Tiang Dua di sini.

Bagi Farouk, 41, dari Beseri, Perlis, dia berazam untuk memerdekakan dirinya dengan meninggalkan semua sifat dan sikap buruknya sebelum ini sebagai penagih dadah dan alkohol sejak 25 tahun lepas selain berharap dapat membina kehidupan yang baik bersama isterinya.

Bekas pekerja hotel di Langkawi itu berkata bermula dengan mengambil alkohol kerana terdedah dengan minuman itu di tempat kerja sebelum terjebak dengan dadah disebabkan ingin mencuba demi kepuasan diri berikutan dia memerlukan tenaga yang banyak kerana bekerja dalam tempoh masa lama dalam sehari.

"Ada kalanya saya terpaksa bekerja tanpa henti dalam tempoh 24 jam sehari, jadi saya mengambil dadah dan arak supaya dapat bertahan untuk melakukan tugas yang diberi. Saya pernah ditahan dua kali di pusat pemulihan di Muar dan Kota tinggi di Johor sebelum dihantar ke sini.

"Banyak ilmu agama yang saya belajar di sini berbanding di luar sana, ahli keluarga dan isteri juga tidak pernah meminggirkan saya sebaliknya mereka memberi dorongan dan sokongan supaya saya pulih daripada ketagihan dadah," katanya yang mempunyai kira-kira enam bulan lagi tempoh rawatan di pusat itu.

Seorang lagi penghuni Puspen, Ah Boon, 31, dari Labis, Johor berkata sepanjang menjalani rawatan dan pemulihan selama 10 bulan di sini, dia berasa kesal dan insaf serta sentiasa berdoa agar dapat membebaskan dirinya daripada najis dadah.

Anak pertama daripada dua beradik itu berkata dirinya lebih tenang dan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik tanpa pengambilan dadah selain dapat bergaul dengan rakan lain di pusat itu serta saling membantu memberi semangat agar kuat menjauhi dadah.

"Saya bukan daripada keluarga orang senang, ibu bekerja di ladang dan ayah sudah meninggal dunia. Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang masih kecil. Jadi saya berazam untuk bebas daripada dadah untuk orang yang saya sayang dan mencari pekerjaan tetap bagi membantu keluarga," katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018