Malaysia perlukan tujuh lagi ILC untuk bantu OKU



KUALA LUMPUR, 5 Sept --​ Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya tujuh ​pusat pengurusan Independent Living Centre (ILC) bagi memenuhi keperluan lebih setengah juta golongan kurang upaya (OKU) berdaftar di negara ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh​​. 

Menurut Yeoh, ILC itu penting dalam memenuhi komponen yang diperlukan OKU iaitu perkhidmatan pembantu peribadi (PA), khidmat kehidupan berdikari, kaunseling, advokasi dan perkhidmatan sokongan​​. 

"Dua ILC sedia ada terdapat di Bangi dan Petaling Jaya, mula beroperasi sejak awal bulan ini dengan peruntukan RM900,000​ dan kami harap, pada tahun hadapan, lebih banyak ILC dapat diwujudkan di seluruh negara bagi membantu 549,000 OKU yang berdaftar. 

"Melalui ILC itu, kami akan mula melatih pembantu peribadi dan juga OKU bagi membolehkan mereka lebih berdikari serta mampu keluar dan berada bersama-sama dengan masyarakat normal yang lain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada peserta bengkel ‘Personal Assistant For Disabled Training’ ​di sini hari ini. 

​Mengulas mengenai khidmat pembantu peribadi, Yeoh menjelaskan projek rintis itu merupakan kerjasama antara Malaysia Independent Living Association For Disable (MILAD) bersama Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU). 

Beliau berkata kumpulan pertama yang terdiri daripada 25 orang PA itu akan menjadi penanda aras kepada perluasan perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan di samping menyedarkan ramai pihak betapa pentingnya perkhidmatan itu. 

“Lebih menarik, mereka ini (PA) akan menerima elaun RM20 bagi setiap jam perkhidmatan yang diberikan. Bagi OKU yang mendapatkan perkhidmatan PA ini, mereka hanya perlu membayar RM5 bagi setiap jam perkhidmatan,” katanya. 

Sementara itu, ​presiden MILAD, Esther Lim berkata PA yang terpilih akan menjalani latihan selama 20 jam yang dikendalikan oleh MILAD dan JPOKU sebelum dirujuk kepada OKU yang memerlukan perkhidmatan mereka.

"Selepas latihan, kami akan padankan PA dengan OKU yang sesuai mengikut jantina dan jenis ketidakupayaan OKU memandangkan perkhidmatan ini memerlukan kekuatan tenaga yang bukan sedikit. Sebagai contoh, memindahkan OKU dari katil ke kerusi roda,” katanya.

​Seorang peserta bengkel, Grace Wong, 26, berkata bengkel dan perkhidmatan PA sangat penting kerana masyarakat dapat memberi bantuan yang betul kepada golongan OKU. 

"Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dan mungkin, ahli keluarga sendiri yang memerlukan perkhidmatan sebegini. Jadi, dengan menjadi PA dan mendapat ilmu yang betul, saya boleh membantu ramai orang. 

"Saya juga percaya, inisiatif ini mampu memberi peluang pekerjaan baharu kepada ramai rakyat Malaysia yang berminat dalam bidang ini di samping menjadikan Malaysia sebagai negara mesra OKU," katanya. 

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2