Selangor berada di peringkat amaran awal berkaitan jerebu



SHAH ALAM, 10 Sept  -- Selangor berada pada peringkat amaran awal berkaitan jerebu dengan semua jenis pembakaran terbuka dilarang sama sekali.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata amaran awal itu dikeluarkan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sekolah perlu menghentikan atau menangguhkan kegiatan di luar kelas.

Beliau berkata jerebu di Selangor berpunca daripada kejadian jerebu rentas sempadan yang mana terdapat bilangan titik panas tinggi dikesan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia bermula Sabtu lepas hingga semalam.

“Sebanyak 116 titik panas di kesan di Sumatera pada Sabtu, 350 titik panas pada Ahad dan semalam (391 titik panas) manakala di Kalimantan pula, sebanyak 646 titik panas dikesan pada Sabtu, Ahad (426 titik panas) dan semalam (255 titik panas).

“Selain itu, aktiviti pembakaran terbuka yang berlaku di atas batas pertanian dan belukar di Johan Setia, Klang juga menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU yang tinggi di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Justeru, katanya, beberapa tindakan diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dalam usaha menangani isu pembakaran terbuka. antaranya meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko berlakunya kejadian itu sama ada siang ataupun malam, bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi mengawal kes kebakaran serta meningkatkan penggunaan dron untuk memantau pembakaran terbuka.

Selain itu kata Hee, JAS Selangor juga bekerjasama dengan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang dalam memantau aktiviti pembakaran terbuka di Johan Setia terutamanya di lokasi yang berpotensi dibakar untuk aktiviti pertanian.

Tambah beliau, bagi menangani cuaca panas dan kering, setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana itu diarah mempertingkatkan usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi mengakibatkan jerebu peringkat tempatan.

“Selain itu, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan semua pemilik tanah dinasihatkan memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Pihak terlibat juga diseru supaya mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja,” katanya.

Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan selain dikompaun sehingga RM2,000 atas setiap kesalahan.

Hee sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai indeks pencemaran udara semasa sama ada melalui aplikasi MyIPU (Mobile Indeks Pencemaran Udara) menerusi telefon pintar atau melayari laman web JAS.

Orang awam yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia di talian 03-8871 2000 atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor di talian 03- 55197233.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 9 malam ini, IPU di lima kawasan di Selangor menunjukkan tahap tidak sihat dengan Shah Alam mencatat bacaan 130, Klang (113), Banting (123), Johan Setia, Klang (157) dan Petaling Jaya (1139) manakala Kuala Selangor menunjukkan bacaan sederhana iaitu 93.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018