Exco gesa kemasukan pelancong perubatan penghidap TB dihadkan



GEORGE TOWN, 11 Sept  -- Hospital swasta dan pusat perubatan perlu mengehadkan kemasukan pesakit tuberculosis (batuk kering) yang datang ke Pulau Pinang sebagai pelancong perubatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Dr Afif Bahardin hari ini.

Beliau berkata satu daripada kebimbangan kerajaan negeri sekarang adalah merebaknya penyakit batuk kering yang disyaki dibawa pesakit dari negara lain yang datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan di bawah pelancongan perubatan, kepada penduduk tempatan.

"Semua hospital yang tahu mereka mempunyai pesakit batuk kering (warga asing) perlu memaklumkannya kepada Jabatan Kesihatan Pulau Pinang. Lebih baik untuk merujuk semula mereka (pesakit) ke negara asal mereka, dengan mengambil semua langkah berjaga-jaga. Pastikan mereka tidak menyebarkan penyakit itu kepada penduduk tempatan.

“Berhentilah daripada menerima pelancong perubatan (yang menghidap batuk kering), kami memerlukan bantuan daripada hospital swasta untuk mengamalkan saringan dan menolak pesakit (asing) jika mereka terlebih dahulu mendapat tahu bahawa mereka bakal menerima pesakit batuk kering,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Mengulas laporan berita tentang kematian seorang pelajar berumur 19 tahun, Carmen Yee yang didakwa berpunca daripada batuk kering di sini pada Ogos lepas, beliau berkata kes batuk kering bukan sahaja meningkat di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Dr Afif berharap sejumlah peruntukan dapat disediakan bagi penjagaan paliatif dalam belanjawan tahun depan kerana pola penyakit akan berubah apabila negara semakin maju dan lebih ramai rakyatnya yang tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk menanggung kos penjagaan itu.

"Kerajaan perlu membangunkan penjagaan paliatif ini dengan segera. Apa yang lebih penting untuk membangunkan penjagaan ini adalah pembiayaan. Terdapat sokongan daripada kerajaan (kepada organisasi penjagaan paliatif swasta) tetapi kita memerlukan sesuatu yang konkrit dan konstruktif supaya kita dapat memberikan penjagaan yang lebih holistik," katanya.

Beliau membuat kenyataan itu selepas mengumumkan bahawa Persatuan Hospis Pulau Pinang, sebuah daripada pusat paliatif sukarelawan di negeri ini, akan menganjurkan 'Hospice Day and Charity Food and Fun Fair 2019' pada 22 Sept di premisnya di Jalan Air Itam di sini dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Menurut naib pengerusi persatuan itu, Datuk Seri T Devaraj, mereka berharap dapat mengumpul  RM100,000 daripada acara itu yang kemudiannya akan digunakan untuk menjalankan aktiviti melibatkan penyediaan rawatan perubatan di rumah pesakit yang menghidap penyakit yang mengancam nyawa di negeri ini.

"Kami menyediakan doktor dan jururawat sukarela dalam aktiviti kami dan menanggung perbelanjaan bagi ubat-ubatan serta barangan  keperluan untuk mereka yang menerima rawatan. Kami harap Kementerian Kesihatan juga dapat memberi sumbangan untuk membantu kami," katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2