Jerebu: Rakyat Selangor mula ambil langkah berjaga-jaga, pakai topeng muka



KLANG, 12 Sept -- Rakyat Selangor mula mengambil langkah berjaga-jaga ekoran keadaan berjerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri itu sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai bacaan tahap tidak sihat sejak beberapa hari lepas.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 3 petang, lima kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat adalah Shah Alam (130), Klang (129), Banting (112), Petaling Jaya (121), Kuala Selangor (134), manakala Johan Setia, Klang menunjukkan bacaan tahap sangat tidak sihat iaitu 205.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun jarak pemandangan kelihatan berasap namun rakyat di kawasan terjejas masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa namun ada dalam kalangan mereka mula mengambil inisiatif memakai topeng muka ketika berada di luar bangunan.

Bagaimanapun, tinjauan ke sekitar kawasan Johan Setia pula mendapati masih ada segelintir individu tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka kecil-kecilan di tepi jalan walaupun larangan berbuat demikian disebarkan menerusi media massa dari semasa ke semasa.

Tinjauan Bernama ke tiga sekolah di Johan Setia yang ditutup serta merta hari ini ekoran bacaan IPU melebihi 200 awal pagi tadi mendapati, pihak pentadbiran ada mempamerkan notis penutupan tersebut pada pagar sekolah dan tiada pelajar mahupun ibu bapa dilihat berada di institusi itu melainkan beberapa guru.

Seorang pekerja pembersihan di SMK Jalan Kebun yang enggan dikenali berkata beliau pada mulanya berasa hairan kerana tiada pelajar hadir ke sekolah seperti biasa dan hanya mengetahui sekolah itu ditutup selepas melihat notis penutupan berkenaan. 

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) memaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun di sini diarah tutup serta merta dan tindakan tersebut selaras dengan kenyataan dalam surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia pada Januari lepas.

Menurut JPS, tempoh penutupan sekolah itu adalah bergantung kepada IPU semasa dan jika bacaan menurun ke tahap kurang 200, sekolah-sekolah terbabit akan dibuka semula seperti biasa.

Sementara itu, seorang penghantar makanan bermotosikal di Johan Setia, Iesmael Ibrahim, 28, menyifatkan keadaan berjerebu ketika ini sedikit mengganggu pekerjaannya kerana penglihatannya agak kurang jelas selain mengalami mata berair.

“Saya terpaksa mengurangkan aktiviti menghantar makanan pada waktu tengahari kerana cuaca terlalu panas...terasa bahangnya sehingga tekak menjadi kering. Bagi mengurangkan kesan kepada kesihatan, saya mula memakai topeng muka semasa bekerja kerana ini adalah pendapatan tetap saya,” katanya.

Senada dengan Iesmael, seorang penjual nasi lemak di Jalan Johan Setia, Thinggal Vatani, 35, berkata keadaan berjerebu menyukarkannya untuk berniaga kerana matanya berasa pedih dan tekak menjadi kering.

“Saya mula membuka gerai nasi lemak seawal pukul 7 pagi, tetapi saya sudah mula berasa bahangnya cuaca. Disebabkan itu, saya tidak membenarkan anak-anak saya keluar daripada rumah tanpa sebab,” katanya.

Bagi seorang suri rumah, Siti Fatimah Hashim, 38, yang menetap di Bandar Putera Dua, Johan Setia berkata beliau sentiasa memastikan anak-anaknya keluar rumah memakai topeng muka dan membawa sebotol air minuman.

Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Muhammad Afiq Fakhruddin Mat Jais, 24, pula menyatakan aktiviti hariannya tidak terbatas walaupun keadaan berjerebu kerana beliau sentiasa menyemak bacaan IPU sebelum keluar daripada rumah.

“Sekiranya, bacaan IPU mencapai tahap tidak sihat, saya akan pastikan saya sentiasa memakai topeng muka yang bersesuaian ketika berada di luar bangunan. Namun, jika tiada sebarang urusan, saya cuba elakkan untuk keluar memandangkan cuaca tidak begitu baik,” katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018