Kementerian Kesihatan membenarkan MMC beroperasi semula mulai semalam

SEREMBAN, 12 Sept -- Kementerian Kesihatan meluluskan untuk Mawar Medical Centre (MMC) di sini beroperasi semula berkuatkuasa semalam.

Pengerusi MMC Datuk Lee Tian Hock berkata surat kebenaran dari Kementerian Kesihatan untuk MMC beroperasi semula itu diperolehi hari ini.

Katanya berikutan itu MMC dibenarkan beroperasi dengan 30 katil, 44 mesin hemodialisis, serta lapan orang doktor pakar dalam bidang masing-masing.

"Dengan kelulusan ini, kita sekarang boleh menerima pesakit untuk mendapat rawatan di sini (MMC). Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pengangkutan yang juga anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan yang lain kerana memberikan kerjasama dan sokongan sehingga MMC dibenarkan beroperasi semula.

"Kita berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit untuk memberikan keyakinan pada orang ramai. Saya juga mengingatkan semua kakitangan supaya memberikan komitmen 100 peratus untuk menjalankan tugas dengan lancar. Saya berharap dapat mengembalikan semula kegemilangan MMC seperti sebelum ini," katanya pada sidang media di MMC di sini, hari ini.

Pada 15 Jan lepas, Kementerian Kesihatan membatalkan lesen MMC berkuat kuasa serta merta, kerana melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Mengulas lanjut, beliau berkata semua pesakit termasuk pesakit hemodialisis diminta supaya tidak merasa ragu-ragu untuk datang semula ke MMC, untuk mendapatkan rawatan dan bagi pesakit yang kurang berkemampuan akan dibantu untuk mendapatkan bantuan, daripada mana-mana pihak bagi meringankan beban mereka.

"Kita adalah pengurusan baharu yang mengambil-alih MMC dan saya adalah pengerusi baharunya manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ialah Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. V. Satiadass," katanya.

Ditanya mengenai sasaran beliau, Lee berkata sasaran beliau ialah untuk mendapatkan RM4 juta dari segi pendapatan.

"Kita berharap dapat mencapai sasaran itu. Saya beri indeks prestasi utama (KPI) pada CEO dan memberi tempoh enam bulan, untuk mencapai sasaran tersebut. Buat masa ini kita ada 230 orang kakitangan termasuk lapan orang doktor pakar.

"Selepas ini kita juga berharap dapat menyelesaikan masalah hutang yang berjumlah RM36 juta. Hutang itu meliputi bayaran gaji doktor pakar, pembekal, syarikat pengurusan dahulu dan bank-bank. Kita akan menjelaskan hutang ini dalam tempoh terdekat," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata apabila semua ini berjalan lancar, fasa seterusnya ialah untuk membuat permohonan untuk beroperasi dengan 97 katil dan 68 mesin hemodialisis serta penambahan bilangan doktor pakar.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018