Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin
KUALA LUMPUR, 16 Sept -- Orang ramai perlu menolak tanggapan salah kononnya hayat seseorang itu sudah hampir sampai ke penghujungnya apabila disahkan mengidap kanser, kerana sesungguhnya harapan tetap ada bagi mereka yang memilih untuk terus berikhtiar bagi merawatnya, kata pakar onkologi Dr Ros Suzanna Ahmad Bustaman.
Ketua Jabatan Radioterapi & Onkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu berkata apa yang tambah membingungkan adalah apabila dilihat keadaan sesetengah pesakit kanser yang menghadapi pelbagai bentuk cabaran, termasuk halangan dari anggota keluarga pesakit itu sendiri untuk mendapatkan bantuan rawatan profesional, yang sebaliknya memilih untuk mendapatkan rawatan menerusi kaedah yang meragukan.
“Berdasarkan pengalaman sendiri, saya pernah bertemu seorang suami yang enggan membenarkan isterinya yang disahkan mengidap kanser payudara menjalani pembedahan. Ini amat menakutkan, dan orang ramai perlu diingatkan selalu kesan buruk yang akan boleh timbul sekiranya senario ini berterusan.
“Malangnya juga pesakit kanser di Malaysia terus meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah penduduk, dan malang sekali masih ada pesakit di luar sana yang enggan mendapatkan bantuan kerana mereka dalam penafian, tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka sebenarnya mengidap kanser,” katanya kepada Bernama.
Menurut Statistik Kanser Global 2018 (GLOBOCAN 2018), pangkalan data dalam talian yang merekodkan anggaran kejadian dan mortaliti di 185 negara bagi 36 jenis kanser; bilangan kes kanser tertinggi yang dilaporkan di Malaysia ialah kanser payudara dengan 7,593 kes dilaporkan pada 2018, menjadikan ia sebagai ancaman nombor satu kepada wanita Malaysia.
Dr Ros menjelaskan 40 peratus daripada pesakit barah payudara hanya sedar mereka mengalami penyakit itu hanya apabila ia mencapai tahap tiga dan empat.
“Tahap empat adalah peringkat kritikal di mana kanser itu sudah mulai tersebar ke bahagian badan yang lain, dan sehubungan itu bagi meningkatkan kesedaran berhubung pengesanan awal kanser payudara, HKL telah bekerjasama dengan Dewan Bandaraya kuala Lumpur (DBKL) bagi menganjurkan “KL Pink Project” dari 4 Mei sehingga 5 Oktober ini, yang merupakan projek tahunan sejak tahun 2016.
“Sehingga kini hampir 700 wanita telah menjalani program pengesanan kanser menerusi projek ini dan kami telah mengesan seorang pesakit kanser payudara. Kami turut memberikan rawatan bagi mereka yang disahkan mengalami panyakit itu, terutama bagi mereka dari kalangan kumpulan sosioekonomi yang rendah,” katanya dan menambah tahun ini KL Pink Project meletakkan sasaran terhadap 10 Projek Perumahan Rakyat dalam bandar raya.
Mengakui tahap kesedaran mengenai kanser yang rendah di kalangan rakyat Malaysia, tidak setanding dengan negara-negara maju, Dr Ros berharap langkah pengesanan kanser payudara ini bukan semata-mata ingatan sekali dalam setiap tahun, yakni semasa program itu berlangsung sahaja.
“Kita perlu bantu ingatkan kaum wanita supaya melakukan pemeriksaan payudara sendiri dan mempelajarinya mulai sekarang,” katanya dan berharap agar pesanan ini dalam memberi kesan dalam tahap kesedaran orang ramai terhadap penyakit berkenaan.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN