KKM siasat laporan rekod perubatan pesakit didedah

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 19 Sept -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius dan sedang menyiasat laporan yang menyatakan sebanyak 19,992 pemeriksaan radiologi di Malaysia berhadapan dengan risiko pendedahan maklumat pesakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM telah mengadakan satu mesyuarat khas pagi ini bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi mengenal pasti punca pendedahan itu.

"Pengajaran daripada laporan Greenbone Networks dan serangan siber yang berlaku di seluruh dunia menunjukkan bahawa kita telah memasuki era baharu ancaman siber.

"Sekuriti siber adalah cabaran yang berterusan dan memerlukan lebih banyak kemahiran serta tenaga pakar untuk menanganinya," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata perkara itu boleh berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan termasuk perkhidmatan hospital swasta serta pusat perubatan di institut pengajian tinggi, dan KKM akan memberikan perkembangan terkini berhubung isu berkenaan dari semasa ke semasa.

Pada mesyuarat hari ini, KKM turut membincangkan tindakan yang akan diambil bagi membendung ancaman siber dan antara langkah segera yang sedang dijalankan ialah pemetaan risiko pendedahan di semua fasiliti kesihatan.

KKM juga sedang mengkaji semula risiko pendedahan di semua hospital yang menggunakan sistem PACS (Sistem Pengarkiban Gambar dan Komunikasi) serta mempertingkatkan ciri-ciri dan tahap keselamatan aplikasi serta infrastruktur teknologi maklumat di semua fasiliti kesihatan secara berterusan.

Greenbone Networks, sebuah syarikat sekuriti siber pada 16 Sept lepas, mendedahkan bahawa rekod perubatan pesakit di 52 negara termasuk Australia, China, Jepun, United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat, Rusia dan Brazil, bocor dalam talian.

Rekod berkenaan mempunyai nama penuh pesakit, tarikh lahir, tarikh pemeriksaan kesihatan, malah jutaan imej juga bocor, seperti imbasan X-ray.

Amerika Syarikat adalah yang paling terjejas oleh kebocoran itu, dengan 13.7 juta set data dan 45.8 juta imej terdedah manakala sebanyak 19,922 rekod data pesakit di Malaysia boleh diakses secara terbuka daripada tiga sistem arkib, bersama dengan 1.2 juta imej yang berkaitan dengan rekod berkenaan.

Greenbone memberi amaran dalam laporannya bahawa maklumat berkenaan boleh dieksploitasi oleh penyerang untuk pelbagai tujuan, seperti nama dan imej untuk merosakkan reputasi seseorang, atau data peribadi berkenaan boleh digunakan untuk mencuri identiti orang lain.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018