Kadar penggunaan platform MyGovUC terus meningkat - MAMPU



KUALA TERENGGANU, 23 Sept (Bernama) -- Kecemerlangan perkhidmatan MyGovUC di bawah seliaan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), berjaya meningkatkan jumlah penggunaannya dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Dr Suhazimah Dzazali berkata pada Disember 2013, MyGovUC hanya digunakan 10 kementerian dan 68 agensi yang melibatkan 132,311 pengguna berdaftar.

Namun katanya, jumlah itu terus meningkat mendadak kepada 21 kementerian dan 187 agensi yang melibatkan 322,982 pengguna, setakat 31 Ogos lepas.

"Kita berharap lebih banyak penyertaan kementerian dan agensi kerajaan untuk menggunakan MyGovUC dalam masa terdekat ini, sebab itu kita adakan program ‘roadshow’ di enam lokasi seluruh negara sejak April lalu," katanya ketika berucap di majlis perasmian Roadshow MyGovUC Zon Timur, di sini hari ini.

MyGovUC adalah satu platform untuk mewujudkan sistem saluran komunikasi yang selamat dalam kalangan penjawat awam. Ia adalah perkhidmatan guna sama kerajaan yang menggabungkan pelbagai kaedah seperti sistem emel, pesanan ringkas, perkongsian fail, serta persidangan audio dan video.

Tambahnya, MyGovUC bukan sahaja memudahkan komunikasi dalaman antara penjawat awam, malah turut menjimatkan kos pengoperasian e-mel kerajaan, kerana agensi yang menggunakan perkhidmatan itu tidak perlu lagi membuat perolehan perkakasan dan perisian, untuk penyediaan infrastruktur e-mel.

"Penjimatan kos operasi lain adalah seperti kos tuntutan perjalanan, bil telefon dan cetakan kerana melalui perkhidmatan ini, penjawat awam boleh menggunakan kemudahan ‘Skype for Business’ untuk berkomunikasi," katanya.

Terbaharu, Suhazimah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menggunakan perkhidmatan MyGovUC dalam melaksanakan Program ‘Klinik Virtual’, yang bermula sejak Julai lalu.

"KKM menggunakannya bagi menyampaikan perkhidmatan kesihatan secara maya, yang dilakukan antara pegawai perubatan dengan pesakit melalui ‘Skype for Business’," katanya.

Lima klinik kesihatan telah terpilih untuk melaksanakan klinik maya itu iaitu Klinik Kesihatan Presint 18 Putrajaya, Klinik Kesihatan Seberang Jaya di Pulau Pinang, Klinik Kesihatan Tudan di Sarawak, Klinik Kesihatan Luyang di Sabah dan Klinik Kesihatan Seksyen 7, Shah Alam di Selangor.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018