Orang Muda Juga Boleh Dapat Osteoartritis

(Kanan) Prof Dr Abdul Halim Mokhtar, Pakar Perubatan Sukan, Pusat Pakar UM (UMSC) , Perunding Ortopedik UMSC, Prof Dr Azlina Amir Abbas (kiri) dan Perunding Reumatologi UMSC, Dr Raja Jasmin Begum Raja Mohamed. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tanggapan bahawa hanya warga tua terdedah kepada osteoartritis (OA) adalah tidak benar kerana orang muda juga boleh diserang radang sendi itu.

Menurut Prof Dr Abdul Halim Mokhtar, Pakar Perubatan Sukan, Pusat Pakar UM (UMSC) , OA boleh menyerang orang muda yang serius bersukan atau ada kaitan dengan pekerjaan mereka.

Beliau yang menyifatkan ahli sukan sebagai "pendera sendi" menjelaskan mereka mungkin terlebih guna serta membebankan sendi mereka, menyebabkan terdedah kepada microtrauma yang kemudiannya menjadi OA.

Microtrauma merujuk kepada kecederaan ringan, yang termasuk koyakan mikro fiber, sarung di sekeliling otot serta tisu penghubung.  Ia juga boleh meliputi urat yang tebal atau tendon serta tulang.

Bagi punca yang melibatkan pekerjaan, mereka tidak bersenam dengan cukup dan mempunyai pekerjaan yang memerlukan mereka berdiri, duduk serta mencangkung ketika melaksanakan tugas mereka mungkin juga membebankan sendiri mereka.

 “Kita mungkin berkata senaman boleh melindungi seseorang, tetapi kita juga perlu sedar sekiranya terlebih senaman, ini akan membebankan sendiri dan mungkin, terutamanya merosakkan tulang rawan, " Dr Abdul Halim memberitahu Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Sambil menasihatkan ahli sukan agar sesekali berehat sepanjang sesi latihan untuk membolehkan tubuh pulih dan tulang rawan untuk tumbuh semula, beliau turut mengingatkan sekiranya ahli sukan membuat senaman yang berlebihan, mereka mungkin diserang OA pada usia muda.

Sementara itu, mereka yang banyak mencangkung, berdiri, berjalan atau naik turun tangga dalam menjalankan rutin kerja harian, perlu sesekali berehat bagi mengelakkan beban berlebihan ke atas sendi mereka.

“Sekiranya keadaan ini berterusan untuk tempoh yang lama, mereka akan berasa sakit di bahagian depan lutut dan sekitar tempurung lutut pada sendi, kemungkinan besar apa yang dipanggil patellofemoral joint pain syndrome yang serupa dengan OA tetapi keadaan yang tidak berapa teruk, “ kata Dr Abdul Halim.

 

PENYEBAB LAZIM

OA adalah artritis yang paling lazim dan ia berlaku apabila tulang rawan yang menampan bahagian hujung tulang lama kelamaan menjadi haus.

Meskipun OA boleh merosakkan mana-mana sendi, gangguan ini biasanya menjejaskan sendi di lutut, buku lali, tulang belakang, tangan dan bahu.

Secara global, OA adalah penyakit artikular paling biasa. Meskipun tidak ada kajian mengenai jumlah rakyat Malaysia menderita OA, dianggarkan lebih daripada 60 peratus penduduk di seluruh dunia berumur 60 tahun ke atas mempunyai penyakit ini. Golongan wanita lebih ramai mendapat penyakit ini.

Menurut pakar perubatan UMSC, kerosakan kepada sendi mungkin tidak dapat diperbaiki tetapi keadaan itu boleh diuruskan dengan baik.

Punca penyakit ini pula berbeza daripada seorang kepada seorang yang lain, bergantung kepada umur, gaya hidup, profesion, genetik dan keadaan fizikal.

Perunding Ortopedik UMSC, Prof Dr Azlina Amir Abbas berkata kebanyakan pesakit warga tua sedar akan keadaan mereka apabila datang untuk mendapat rawatan.

“Saya sering beri analogi tayar kereta apabila menjelaskan keadaan mereka. Apabila anda tidak banyak memandu, tayar kereta memang akan cantik dan nampak baru. Jika selalu digunakan, tayar pun cepat botak," kata Dr Azlina, yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ortopedik (penggantian tulang pinggul dan lutut, trauma dan autologous chondrocyte transplantation).

Berat badan seseorang juga boleh menjadi faktor menyebabkan OA. Lagi berat, lagi membebankan sendiri bahagian bawah anggota badan, terutamanya pada lutut kerana lutut yang menyokong berat badan.

 

OA SEKUNDER

Sementara itu, Perunding Reumatologi UMSC, Dr Raja Jasmin Begum Raja Mohamed, berkata secara lazimnya OA menjejaskan lutut, tulang pinggul, sendi dan bahu.

Bercakap sebagai pakar reumatologi, beliau berkata faktor risiko variabel dan boleh menjurus kepada keadaan OA sekunder seperti rheumatoid arthritis, psoriatic arthritis, ankylosing spondylitis dan crystal arthropathies (gout/pseudogout).

Rheumatoid arthritis menyebabkan radang, pembengkakan dan kesakitan di dalam dan di sekitar sendi dan organ badan yang lain. Sementara itu, psoriatic arthritis adalah sejenis artritis yang memberi kesan kepada orang yang menghidap psoriasis, keadaan yang menyebabkan tompokan merah ditambah dengan kemunculan sisik di atas kulit.

Ankylosing spondylitis memberi kesan tulang belakang sementara crystal arthropathies adalah gangguan sendi yang berpunca akibat kristal halus dalam satu atau lebih banyak sendi.

“OA boleh berlaku akibat faktor modifiable dan non-modifiable seperti usia yang semakin lanjut, genetik, penyakit metabolik dan penyakit radang.

“Hakikatnya, keadaan radang autoimun dan crystal arthropathies yang lazimnya bermula pada usia muda (antara 30 hingga 50) boleh menjadi punca OA pada tahun-tahun berikutnya, " jelas Dr Raja Jasmin Begum.

Sehubungan dengan itu, amat penting untuk perundingan dibuat sebelum sebarang rawatan diberikan kepada pesakit yang juga perlu diberitahu bahawa mengambil ubat penghilang kesakitan bukan penyelesaian muktamad kepada masalah mereka.

“Sekiranya penyakit ini tidak dikawal, kerosakan kepada sendi termasuk kehilangan tulang rawan boleh berlaku.

“Dalam hal ini, ubat penghilang kesakitan bukan jalan penyelesaiannya. Di samping pengubatan antiradang perlu digunakan secara berhati-hati terutama warga tua kerana risiko ulser peptik dan kerosakan buah pinggang. Opiate mungkin perlu digunakan secara berhati-hati kerana mungkin menyebabkan kesan sampingan seperti pening kepala, “ tambahnya.

 

RAWATAN TRADISIONAL / MODEN 

Tentang OA, sebenarnya tidak ada penyembuhan untuk penyakit ini.

Menurut Dr Azlina, rakyat Malaysia mudah tertarik kepada terapi tradisional yang mereka anggap lebih selamat dan berkesan.

“Perlu berhati-hati dengan perubatan tradisional yang mungkin mengandungi steroid tersembunyi yang boleh menjadikan orang yang mengambilnya berasa lebih sihat tetapi boleh mendapat kesan sampingan yang serius pada jangka masa panjang, " jelas beliau.

Menurut Dr Raja Jasmin Begum, tidak ramai yang sedar bahawa buat masa ini belum ada rawatan farmaseutikal untuk pesakit yang menderita kesakitan dan kehilangan upaya pergerakan fizikal.

“Strategi rawatan utama menggunakan pengubatan penghilang kesakitan dan mengekal atau memperbaiki kekuatan otot menerusi senaman dan fisioterapi. Berjalan dan senaman fizikal membantu memperbaiki kekuatan otot. Sebagai contoh, Tai Chi boleh membantu kawalan otot dan keseimbangan, " katanya.

Bagaimanapun, Dr Abdul Halim tidak mengesyorkan supplement kerana bukan semua disokong bukti klinikal.

“Saya tak berapa suka memberi atau menasihatkan pesakit mengambil supplement. Kami bimbang dengan keselamatan pesakit kerana tidak ada penyelidikan yang menyokong keberkesanannya. Akupunktur boleh memberi sedikit kelegaan tetapi bukan penyembuh, " katanya.

 

MENDIDIK PESAKIT

Dengan merujuk kepada garis panduan pengurusan OA oleh Institute for Health and Care Excellence yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Azlina berkata pendidikan pesakit adalah antara pengesyoran paling atas untuk pengurusan OA.

“Garis panduan itu mengutamakan kesejahteraan peskit. Sebagai pakar bedah, saya perlu memeriksa pesakit secara menyeluruh untuk melihat bagaimana OA menjejaskan keadaan mereka dari segi gaya hidup, mood, tidur dan bagaimana kesan sebagai contoh kepada penyakit jantung atau buah pinggang atau diabetes.

“Kami perlu memeriksa pesakit secara menyeluruh, bukan sahaja untuk membaiki lutut atau otot yang perlu dikuatkan atau membuat ujian darah, " tambahnya.

Menurut Dr Raja Jasmin Begum, di samping pengubatan, ahli terapi juga bersedia membantu pesakit OA.

“Penting untuk ada jurupulih anggota dan jurupulih pekerjaan (untuk memberi penjagaan mobiliti dan kasur khas serta bantuan berjalan). Mereka ini penting untuk membantu pesakit secara holistik, " tambahnya.

 

Diterjemahkan oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018