KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Penjenamaan semula Pahang Medical Centre (PMC), hospital pakar milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada 2019 adalah untuk mengelak kekeliruan orang ramai bahawa hospital pakar pelbagai disiplin itu hanyalah khas untuk orang Islam.
Pengarah Eksekutif PMC, Datuk Dr Abd Razak Abdullah berkata, PMC yang bermula sebagai klinik yang menawarkan rawatan pesakit luar dan perkhidmatan bersalin di lot kedai sejak tahun 90-an di Pahang dan kemudian dikenali sebagai Pusat Rawatan Keluarga MUIP sememangnya terbuka kepada semua bangsa namun masih menimbulkan keraguan kerana ianya milik MUIP.
“Kenapa tukar nama kepada PMC kerana kami ingin menarik pelanggan lebih ramai, jika dahulu orang nampak MUIP, orang ingat hospital ini untuk orang Melayu, orang Islam, jadi bila kita gunakan PMC ini maknanya kami buka untuk semua bangsa, tak kira agama, semua golongan dan kami ini bukannya “charity” hospital, kami adalah hospital swasta.
“Itu adalah satu sebab kami ubah nama dan untuk memberitahu orang ramai bahawa kami adalah sebuah multidisiplin hospital dan bukan hospital bersalin saja,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu jemputan program Nine-11 terbitan Bernama News Channel di sini, hari ini.
Dr Abd Razak berkata penjenamaan semula itu bagi membolehkan PMC menolak stigma bahawa hospital itu khas untuk bangsa tertentu seterusnya membolehkan PMC memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik.
Mengulas lanjut, Pengerusi PMC Datuk Sri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata setelah dijenamakan semula, PMC kini dilengkapi dengan fasiliti setaraf hospital swasta terkemuka serta pakar perubatan pelbagai bidang bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
“Konsep hospital ialah memberikan perkhidmatan pakar yang tidak memberi kompromi tentang standard. Hospital kami setara dengan mana-mana hospital pun dan pada masa hadapan kita bertekad untuk jadi hospital yang unggul di Pantai Timur,” katanya.
Bagi perkhidmatan bersalin untuk pesakit muslim, PMC menyediakan doktor pakar wanita untuk menyambut kelahiran, membantu mengazankan bayi yang baru dilahirkan serta menggalakkan pesakit yang mampu untuk bersolat.
Selain itu, katanya PMC banyak membantu golongan asnaf yang memerlukan rawatan kritikal melalui pembiayaan oleh MUIP setelah melalui proses yang ditetapkan..
“PMC adalah hospital pakar dan hospital komersial, yang membiayai asnaf itu ialah MUIP, kes-kes yang dirujuk kepada PMC ini contohnya pemasangan fistula untuk buat hemodialisis, kosnya antara RM1,500 sehingga RM2,000 dan dibiayai MUIP.
“Kita juga mengadakan perkhidmatan berkhatan bagi anak asnaf secara berkumpulan yang atas dasar sukarela oleh doktor di PMC,” katanya menambah PMC sentiasa menekankan untuk membantu mereka yang memerlukan terutama pesakit kritikal tanpa memikirkan soal kewangan terlebih dahulu.
Wan Abdul Wahid berkata PMC yang berpindah ke Jalan Gambut di Kuantan pada 3 Mei, 2011 sebelum dijenamakan pada 13 Mei, 2019 kini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dewan bedah, dewan bersalin, Special Care Nursing, Unit Rawatan Rapi, Unit Fisioterapi, Radiologi, Angiogram dan Pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).
PMC juga mempunyai makmal khas sendiri untuk membuat ujian darah serta menawarkan rawatan pesakit luar.
Dalam perkembangan lain Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan PMC, Mohd Sakeri Mohd Yunus berkata, PMC akan mengadakan hari terbuka pada 5 Okt ini yang bermula 8.30 pagi sehingga 4.00 petang dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk bicara kesihatan, pameran, cabutan bertuah serta tawaran pakej kesihatan yang menarik.
“Hari terbuka ini dibuka kepada seluruh warga Malaysia, menariknya kami juga ada lawatan ke hospital di mana pengunjung boleh masuk dan melawat sendiri dalam hospital,” katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN