Aktiviti fizikal beri impak positif kurangkan kesakitan artritis

Datuk Dr Rohaizat Yon (Gambar fail)

SEREMBAN, 29 Sept -- Aktiviti fizikal sangat bermanfaat bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga memberi impak positif untuk mengurangkan kesakitan terhadap pelbagai jenis penyakit artritis.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Rohaizat Yon berkata terdapat empat peranan dalam aktiviti fizikal iaitu kecergasan kardiovaskular, kekuatan otot, fleksibiliti dan prestasi neuromotor yang boleh dilaksanakan dan selamat untuk para pesakit artritis.

"Manfaat daripada bersenam ini termasuklah melegakan keradangan kerana ia mengurangkan kesakitan artritis dan kekakuan. Melalui senaman juga boleh meningkatkan fungsi sendi yang kaku dan meningkatkan fleksibilitinya, julat pergerakan sendi, kekuatan otot dan tulang serta keseimbangan yang lebih baik.

"Para pesakit artritis yang bersenam mempunyai kesihatan yang lebih baik kerana dengan senaman dapat meningkatkan tahap tenaga, melawan keletihan, meningkatkan rehat dan melawan kemurungan.

“Ia juga menghalang obesiti, diabetes mellitus, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan lain-lain masalah perubatan," katanya pada majlis perasmian Larian Kesedaran Artritis dan Fun Walk 2019 sempena Sambutan Hari Artritis Sedunia Peringkat Negeri Sembilan anjuran Pertubuhan Artritis Negeri Sembilan (PANS) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Zainudin Mohd Ali dan Presiden PANS Datuk Dr Gun Suk Chyn.

Dr Rohaizat berkata kejayaan dalam program bersenam ini boleh berhasil dengan jayanya secara perlahan-lahan.

"Antaranya dengan melakukan beberapa latihan intensif ringan dan tidak memberi tekanan terlalu tinggi kepada sistem badan kita. Antara aktiviti yang disarankan seperti berjalan kaki, berenang mahupun berbasikal yang sememangnya mesra terhadap persekitaran.

"Selain itu, senaman seperti taichi dan yoga juga digalakkan kepada para pesakit artritis kerana ia merupakan aktiviti yang tidak terlalu berat dan tidak memberi kesan buruk kepada para pesakit artritis," katanya.

Dr Rohaizat berkata kelemahan otot, kekakuan sendi dan keseimbangan yang kerap berlaku kepada pesakit artritis boleh menjadi lebih teruk sekiranya mereka tidak aktif melakukan senaman mahupun pergerakan.

"Otot dan tisu lemah di sekeliling adalah punca dan penyebab tekanan yang banyak kepada sendi. Selain daripada masalah berkaitan artritis, kurangnya senaman dan aktiviti fizikal adalah juga punca masyarakat berhadapan risiko kesihatan seperti obesiti, diabetes mellitus, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan osteoporosis.

-- BERNAMA
 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018