Vaksinasi 2020 lebih agresif cegah penyakit rabies - Uggah



KUCHING, 1 Okt -- Kerajaan negeri Sarawak akan melaksanakan operasi anti rabies yang lebih agresif bagi mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus anjing berjaya divaksin, bermula tahun hadapan, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata program yang dinamakan Vaksinasi 2020 itu adalah lanjutan daripada operasi anti rabies yang dilaksanakan di seluruh negeri tahun ini termasuk sasaran untuk menghapuskan lebih banyak anjing terbiar. 

Selepas melakukan enam operasi setakat ini, Uggah berkata kadar kejayaan suntikan vaksinasi hanya mencapai 61.49 peratus daripada anggaran kira-kira 200,000 ekor anjing manakala hanya 7,584 ekor anjing dan 73 kucing terbiar dihapuskan.

“Nampaknya, kita belum dapat mencapai kedua-dua objektif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat untuk menyelaraskan persiapan operasi seterusnya iaitu yang ketujuh, di sini hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Prof Datuk Dr Sim Kui Hian, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri Dr Apdrian Susin Ambud dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata operasi ketujuh yang bermula Jumaat ini hingga 15 Okt akan meliputi daerah Dalat, Matu Daro, Mukah, Bintulu, Tatau dan Belaga manakala operasi kelapan yang juga terakhir akan diadakan di bahagian Miri.

Beliau turut mempersoalkan kes gigitan anjing yang banyak direkodkan di negeri ini yang mana menurut angka rasmi, secara puratanya terdapat kira-kira 300 kes gigitan anjing setiap minggu.

“Saya tertanya-tanya sama ada angka yang tinggi ini khusus untuk negeri ini, mungkin Jabatan Kesihatan boleh memberi pencerahan tentang perkara ini,” katanya.

Uggah dalam pada itu gembira apabila banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pihak pembangkang yang mula memberikan sokongan terhadap operasi itu.

“Tetapi masih ada yang ragu-ragu dan prejudis. Sebenarnya masalah terbesar kita ialah pergerakan anjing di sempadan kita. Kami tidak boleh memantau atau mengawalnya dengan berkesan kerana sempadan kita yang sangat panjang,” katanya.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2