Hospital Lahad Datu perlu lagi doktor pakar - Mohamaddin



LAHAD DATU, 4 Okt -- Hospital Lahad Datu memerlukan lebih ramai doktor pakar bersesuaian dengan statusnya sebagai hospital pakar.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, yang juga Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata perkara itu akan dibangkitkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk perhatian.

"(Lahad Datu) sebuah hospital pakar, tapi kurang doktor pakar.

"Saya minta (pihak pengurusan hospital) tulis surat, dan saya akan bincang dengan Menteri Kesihatan, tentang keadaan serta keperluan di Hospital Lahad Datu ini," katanya selepas meluangkan masa meninjau keperluan Hospital Lahad Datu seperti mesin dialisis dan mesin bantuan pernafasan.

Menurut Mohamaddin, hospital itu memerlukan Pakar Ortopedik, Pakar Psikiatri dan Pakar Mata (Oftalmologi) agar masyarakat di daerah ini tidak perlu lagi menunggu pakar dari Tawau atau pesakit dirujuk ke hospital lain.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, penambahan ruang bagi rawatan dialisis, yang sentiasa penuh di hospital amat diperlukan bagi memenuhi keperluan pesakit buah pinggang.

"Setelah melihat kekurangan dan keperluan hospital ini, saya akan mencari kaedah bagi memberi bantuan menambah mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang. Kita juga akan berusaha untuk menampung kekurangan mesin bantuan pernafasan untuk pesakit daerah ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Lahad Datu, Dr Tan Hee Ting yang mengiringi Mohamaddin dalam lawatan beliau memberitahu bahawa kes denggi di daerah ini mencatatkan peningkatan 300 peratus.

Tan berkata peningkatan kes denggi itu berpunca daripada kawasan Felda Sahabat yang merekodkan kes tertinggi dengan lima kanak-kanak maut.

Katanya, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran berkaitan perkara ini dengan mengamalkan rutin kebersihan bagi mengurangkan kes yang boleh membawa maut ini.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2