Vaksin: kanak-kanak berhak bermain tanpa takut dijangkiti penyakit



MELAKA, 6 Okt -- Kanak-kanak mempunyai hak untuk bermain tanpa rasa takut dijangkiti campak, pertusis (batuk kokol), cacar air dan penyakit lain daripada rakan mereka yang ibu bapanya enggan memvaksinkan anak mereka, kata pakar pediatrik dan neonatologi Datuk Dr Musa Mohd Nordin.

Perunding Pediatrik dan Neonatologi di Hospital Pakar Damansara itu berkata seseorang kanak-kanak itu akan meningkatkan risiko pertusis sebanyak 23 kali, sembilan kali cacar air dan penyakit lain sekiranya ibu bapa mereka tidak memberi vaksin kepada anak mereka.

“Seperti merokok, dengan peningkatan risiko kanser dan penyakit jantung, Kementerian Kesihatan memutuskan supaya perokok tidak mendedahkan asap rokok kepada orang lain yang tidak merokok.

“Begitu juga, kanak-kanak yang tidak bersalah ini mempunyai hak untuk bermain tanpa khuatir dijangkiti campak, pertusis, cacar air atau penyakit lain daripada rakan mereka yang ibu bapanya percaya semua yang dibaca dalam Internet. Kebebasan memilih adalah perkara baik, (tetapi) kebebasan untuk membahayakan orang lain adalah tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kekhuatiran bahawa pemberian beberapa jenis vaksin akan melemahkan dan menjejaskan sistem imun kepada kanak-kanak yang terdedah secara saintifiknya adalah salah.

Dr Musa menjelaskan sistem imun kanak-kanak adalah lebih kuat daripada apa yang dibayangkan oleh orang ramai.

“Sel-sel sentiasa dipulihkan dan dianggarkan sekiranya semua vaksin berjadual diberikan kepada seorang kanak-kanak pada satu-satu masa, hanya 0.1 peratus daripada ruang imun akan digunakan.

“Vaksin yang ada sekarang juga mengandungi sedikit antigen. Pada masa lalu, satu dos cacar mempunyai 200 antigen, hari ini, hanya 150 antigen dalam 14 vaksin yang diberi kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata pengalaman dahulu merekodkan penyakit cacar membunuh 300 juta orang pada abad ke-20 sebelum ia dibasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi kempen vaksin global pada 1980.

Menurut Dr Musa, vaksin menghalang 2.5 juta kematian dan tiga suku juta ketidakupayaan setiap tahun, dan terdapat peluang untuk menyelamatkan 2.5 juta lagi nyawa setiap tahun sekiranya vaksin digunakan lebih meluas.

“Kanak-kanak dengan 'dormant underlying diseases' perlu diimunisasi kerana mereka terdedah dengan jangkitan, dan tiada bukti yang menunjukkan vaksin mencetuskan kesulitan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2