KUALA LUMPUR, 8 Okt -- Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PKBD) telah membatalkan pendaftaran produk tradisional, Herbun Plaster bermula 3 Oktober lalu selepas dikesan mengandungi racun berjadual diphenhydramine yang tidak dibernarkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini berkata pihaknya menggesa orang ramai supaya tidak membeli dan menggunakan produk itu yang didaftarkan untuk sakit belakang, sakit sendi dan sakit otot.
"Penjual dan pengedar produk ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk tersebut serta-merta. Penjual diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.
Dr Noor Hisham berkata diphenhydramine ialah sejenis antihistamin yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperoleh daripada doktor atau ahli farmasi untuk melegakan reaksi alahan.
"Kesan sampingan diphenhydramine yang digunakan secara topikal termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya," katanya.
Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN