Rabies: Kes gigitan anjing di Sarawak masih tinggi - Dr Noor Hisham



KUCHING, 9 Okt  -- Kadar gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing di Sarawak masih tinggi dengan purata 40 ke 60 kes sehari walaupun kini telah memasuki tahun ketiga sejak wabak rabies di negeri ini diisytiharkan pada 1 Julai 2017.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga 3 Okt lepas, kes rabies itu telah meragut 20 nyawa dengan kes terbaharu melibatkan seorang lelaki dari sebuah rumah panjang di Mukah.

Beliau berkata lelaki berusia 64 tahun itu meninggal dunia pada 19 Ogos lalu semasa dalam pemerhatian rapi pakar perubatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu, setelah digigit anjing yang diambil daripada saudaranya di Kanowit.

“Sejak 1 Julai 2017 sehingga 3 Okt 2019, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia adalah 21 orang. Kesemua kes telah meninggal dunia kecuali seorang kanak-kanak yang masih hidup dan kini berumur sembilan tahun yang mengalami komplikasi neurologi teruk akibat jangkitan rabies.

“Lima daripada 21 kes ini memberi sejarah digigit oleh anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi haiwan tersebut tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pada tahun ini, terdapat lima kes disahkan rabies dalam kalangan manusia dan sejumlah besar anjing dan kucing yang menggigit mangsa didapati positif ujian rabies.

Beliau berkata berdasarkan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, sehingga 30 Sept lepas, sebanyak 138 (32.8 peratus) sampel daripada sejumlah 420 anjing dan kucing yang dijalankan ujian didapati positif rabies.

“Kejadian semua kes rabies ini boleh dielakkan sekiranya haiwan-haiwan ini dikendalikan dengan baik dan luka gigitan segera dicuci dengan sempurna bagi menghilangkan air liur haiwan. Selanjutnya hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan,” katanya.

Dr Noor Hisham mengingatkan kepada pemilik supaya memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat imunisasi rabies setiap tahun bagi memastikan mereka kekal dilindungi daripada jangkitan penyakit itu selain elakkan mengambil atau memelihara anjing yang tidak diketahui status kesihatannya.

Sehingga kini, katanya, hampir keseluruhan negeri Sarawak ada melaporkan anjing dan kucing yang didapati positif rabies kecuali Limbang yang masih bebas rabies.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2