PeKa B40 Perlu DiPerluaskan

Waktu menunggu yang lama di klinik dan hospital kerajaan adalah antara rungutan mereka yang perlu mendapatkan rawatan. --fotoBERNAMA HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Sakini Mohd Said

PETALING JAYA (Bernama) -- Kerenah waktu menunggu yang lama di klinik dan hospital kerajaan untuk rawatan penyakit termasuk yang kronik atau pun pemeriksaan kesihatan ringan bukan perkara baru malah sudah sekian lama berantaian dalam sistem kesihatan negara. 

Hakikatnya, polemik ini bukan disebabkan ketidakcekapan para petugasnya tetapi lebih menjurus kepada faktor jumlah pesakit yang semakin ramai membanjiri hospital dan klinik kerajaan. 

Pergantungan masyarakat untuk mendapatkan khidmat rawatan di sektor perubatan negara adalah sangat tinggi. Berdasarkan satu laporan media, hospital awam menerima kira-kira 60 hingga 70 peratus pesakit sedangkian kemampuan serta kemudahan yang ada hanyalah 40 ke 50 peratus sahaja. 

“Sama ada kita sedar atau tidak, kesesakan dan masalah menunggu lama untuk mendapatkan rawatan atau melakukan ujian saringan di sektor kerajaan  menyebabkan ada yang hilang minat khususnya warga emas untuk tampil membuat pemeriksaan. 

“Bagi mereka yang mampu mungkin boleh melakukannya di klinik mahupun hospital swasta tetapi, bagaimana pula dengan golongan B40 di mana kebanyakannya bergantung dengan hospital kerajaan? Kita ambil contoh paling mudah, ramai rakyat Malaysia tidak menyedari mereka menghidap NCD (penyakit tidak berjangkit) dan antara puncanya tidak melakukan ujian saringan, " kata Pakar Perunding Paru-Paru Pusat Perubatan Pakar UiTM, Prof Dr Mohammed Fauzi Abdul Rani kepada Bernama.


Pakar Perunding Paru-Paru Pusat Perubatan Pakar UiTM, Prof Dr Mohammed Fauzi Abdul Raniketika ditemuramah Bernama berkata pelaksanaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah sejajar dengan konsep kesaksamaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di mana semua rakyat berhak mendapat akses kesihatan berkualiti tanpa mengira status mahupun jurang pendapatan --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menurut beliau, ujian saringan seperti ujian darah, air kencing dan penyakit NCD di klinik swasta boleh mencecah sehingga lebih RM150. 

Sehubungan dengan itu, beliau melihat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang dilaksanakan April tahun ini dengan memberi fokus terhadap NCD adalah sejajar dengan konsep kesaksamaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Di bawah Wawasan berkenaan, semua rakyat berhak mendapat akses kesihatan berkualiti tanpa mengira status mahupun jurang pendapatan.

 

 TIDAK PERLU TUNGGU LAMA

Berkonsepkan model kerjasama awam-swasta, PeKa B40 membolehkan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan penerima bantuan sara hidup, membuat ujian saringan kesihatan di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan program tersebut secara percuma.

Ini sudah tentu mampu menarik perhatian kumpulan berkenaan tampil membuat pemeriksaan. 

Setakat 8 Okt, hasil pencarian di laman sesawang rasmi skim berkenaan mendapati sebanyak 2,354 klinik swasta seluruh negara berdaftar dengan PeKa B40 yang mempunyai agenda khusus dalam meningkat serta memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat B40. 

Dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta dan menyasarkan seramai 800,000 individu, PeKa B40 yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 berjaya memanfaatkan 40,119 orang sejak dilaksanakan pada April tahun ini. 

Berdasarkan statistik dalam satu petikan akhbar, rakyat Sarawak paling ramai menggunakan perkhidmatan skim berkenaan iaitu seramai 9,852 orang diikuti Kedah (6,324 orang), Pulau Pinang (4,852 orang) dan Perak (4,209 orang). 

Malah, bagi menarik lebih ramai tampil untuk melakukan saringan kesihatan dan menjalani rawatan lebih awal,  Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu laporan media menyatakan had umur skim berkenaan diturunkan daripada 50 tahun menjadi 40 tahun. 

“Kebanyakan masyarakat cenderung untuk melakukan pemeriksaan di klinik berdekatan rumah mereka dan biasanya memilih klinik swasta yang terdapat di mana-mana sahaja berbanding klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang bukannya ada di semua tempat. 

“Dengan adanya PeKa, golongan berpendapatan rendah boleh melakukan ujian kesihatan di mana-mana klinik swasta berdaftar. Biarpun ia hanyalah ujian saringan kesihatan dan rawatannya pula perlu merujuk klinik dan hospital kerajaan, namun manfaatnya sangat bermakna buat mereka. 

“Mereka tidak perlu lagi menunggu lama untuk melakukan ujian saringan kesihatan dan langkah ini juga sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik kerajaan di mana kita memfokuskan hospital dan klinik sebagai tempat rawatan semata-mata,” kata Prof Dr Mohammed Fauzi.

Selain manfaat utama iaitu saringan kesihatan, PeKa B40 juga memberi bantuan alat perubatan (had maksimum RM20,000), insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) serta insentif tambang pengangkutan (had maksimum RM500 untuk Semenanjung atau RM1000 untuk Sabah/Sarawak/Labuan). 

 

MENGAPA B40?

Mengulas lebih lanjut, Prof Dr Mohammed Fauzi berkata matlamat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi fokus kepada pendekatan bersifatkan pencegahan berbanding penyembuhan menerusi program PeKa yang mengalakkan pemeriksaan awal adalah bertepatan dengan masanya. 

Ini memandangkan masalah NCD di Malaysia semakin membimbangkan kerana prevalen faktor risiko penyakit itu di negara ini adalah tertinggi di rantau ASEAN.

Malah ia dikesan antara menjadi penyebab utama purata jangka hayat rakyat negara ini tidak dapat dipertingkatkan iaitu hanya sekitar usia 75 tahun. 

“Ada sebab kalau kita lihat PeKa B40 memberi tumpuan pada golongan B40. Selain faktor pergantungan mereka sepenuhnya kepada hospital dan klinik kerajaan kerana tidak mampu mendapatkan rawatan di sektor perubatan swasta, kajian mendapati masalah NCD adalah paling tinggi dalam golongan berkenaan berbanding M40 dan T20. 

“Justeru, saya rasa pengenalan PeKa ini merupakan satu inisiatif sangat bagus dan contoh terbaik kerjasama awam-swasta bagi mengalakkan kumpulan berpendapatan rendah ini tampil membuat pemeriksaan seawal mungkin dan rawatan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya komplikasi akibat NCD,” katanya. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan secara umumnya sebanyak 17.5 peratus rakyat negara ini menghidap penyakit kencing manis dan daripada jumlah itu, 23.5 peratus terdiri dalam kalangan B40.

Bagi penyakit darah tinggi pula, beliau dipetik berkata sebanyak 30 peratus rakyat negara ini menghidap penyakit itu dengan 36 peratus daripada pesakit terdiri daripada golongan B40. 

Situasi ini membimbangkan kerajaan kerana komplikasi daripada penyakit NCD misalnya kencing manis bukan sahaja akan mengganggu kualiti hidup penghidapnya seperti perlu melalui proses dialisis mahupun amputasi anggota badan bahkan KKM menanggung beban kewangan besar untuk rawatan. 

Kerajaan dilaporkan menampung kos rawatan hemodialisis berjumlah RM2.2 bilion setahun bagi 50,000 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di hospital kerajaan. Dianggarkan kos untuk seorang pesakit menjalani rawatan itu sebanyak tiga kali seminggu sekitar RM44,000 setahun. 

 

HARAPAN BELANJAWAN 2020 

Ketika ditanya mengenai harapan untuk Belanjawan 2020, Prof Dr Mohammed Fauzi berkata kerajaan perlu mengkaji kembali inisiatif PeKa B40 daripada sudut keberkesanan dan kelemahannya serta mencadangkan supaya rawatan NCD yang telah dikesan boleh dilakukan di klinik sama yang melakukan ujian saringan. 

“Kalau boleh, biarlah klinik swasta yang sama juga buat rawatan dan tidak perlulah pesakit ini pergi ke hospital atau klinik kerajaan melainkan sekiranya ia melibatkan sebarang komplikasi akut. 

“Mungkin, kerajaan boleh buat satu pakej pembayaran misalnya seorang pesakit kencing manis layak untuk mendapat sebanyak RM500 setahun untuk rawatan di klinik swasta yang berdaftar dengan program PeKa, “ katanya. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (IMEDIK)  Prof Dr Azizi Ayob pula berkata skop PeKa B40 dan manfaatnya wajar diperluaskan kepada golongan berpendapatan sederhana atau M40. 

“Dianggarkan golongan ini adalah sekitar 2.7 juta orang dan masih ramai belum mempunyai insurans kesihatan untuk mereka dan ahli keluarga. Saranan perluasan skop ini juga bertepatan dengan konsep kesihatan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018