Penghidap artritis dinasihat dapatkan ubat, rawatan berdaftar KKM



KUALA LUMPUR, 12 Okt -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihati penghidap penyakit artritis, iaitu penyakit berkaitan sendi agar tidak mengambil jalan mudah untuk sembuh dengan mendapatkan rawatan dan ubat yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. 

"Pada masa kini terdapat rawatan yang terkini seperti ubatan biologik yang terbukti dapat merawat penyakit dan seterusnya memberi peluang kepada pesakit untuk menjalani hidup secara normal tanpa hilang upaya fizikal," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Artritis Sedunia 2019, di sini hari ini. 

Artritis merupakan sejenis keradangan pada sendi yang menyebabkan pesakit berasa sakit pada bahagian sendi, kurang fleksibel atau sukar untuk bergerak.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata beliau dimaklumkan bahawa wanita lebih ramai menghidap penyakit seperti artritis rheumatoid dan sistemik lupus eritematosus (SLE) berbanding lelaki dan ia berlaku ketika pesakit di umur reproduktif dan produktif. 

“Penyakit artritis rheumatoid ialah penyakit sendi autoimmune yang paling lazim, dan menyerang satu peratus daripada populasi sedunia,” katanya.

Timbalan perdana menteri turut menarik perhatian bahawa data Pendaftaran Keradangan Artritis Kebangsaan yang mengumpul maklumat daripada semua hospital negeri Kementerian Kesihatan mendapati sebanyak 6,059 pesakit menghidap artritis rheumatoid.

“87.4 peratus daripada pesakit artritis rheumatoid adalah wanita, iaitu untuk setiap lelaki yang menghidap penyakit sendi ini, seramai  tujuh wanita yang menghidapnya. Penyakit ini lazimnya menyerang wanita di antara lingkungan umur 21 hingga 60 tahun,” katanya. 

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar lebih peka tentang tanda-tanda awal penyakit itu kerana ia boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira jantina mahu pun umur. 

Ini kerana katanya walaupun fungsi sendi begitu penting dalam kehidupan seharian, namun masalah-masalah sendi sering diketepikan atau diabaikan oleh masyarakat. 

“Adalah penting kita mengetahui tanda-tanda awal penyakit agar rawatan dapat diberikan dengan segera sebelum komplikasi penyakit berlaku seperti kecacatan anggota,” katanya.

Hari Artritis Sedunia yang disambut pada 12 Okt setiap tahun di seluruh dunia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran tentang penyakit berkaitan sendi.  

-- BERNAMA 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018