Pembelian ubat secara pukal tiga kementerian, beri penjimatan kepada kerajaan



IPOH, 12 Okt -- Peruntukan RM500 juta bagi pembelian ubat secara pukal membabitkan tiga kementerian termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dilihat mampu memberikan penjimatan terbaik kepada kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan itu lebih baik berbanding pembelian secara berasingan.

"Kita sudah menguar-uarkan tentang kepentingan merangkum tiga Kementerian, iaitu KKM, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan, andai kita dapat melakukan apa yang diistilahkan sebagai ‘pool procurement’ atau perolehan secara kelompok (pukal) ia akan dapat memberikan kita ‘economic of scale’, keupayaan untuk berunding dengan lebih baik.

“Apabila kita merangkum ketiga-tiga sekali kita, kita dapat lakukan penjimatan yang baik, ini lebih baik berbanding secara asing-asing dan tidak ada keupayaan untuk berunding,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan edaran pelekat notis larangan merokok di premis perniagaan peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai peratusan penjimatan yang dibuat oleh kerajaan menerusi pendekatan itu, Dr Dzulkefly berkata ia bergantung kepada hasil rundingan.

“Saya tidak boleh memberikan apa-apa angka itu (peratusan penjimatan) kerana ia tergantung kepada sejauh mana perundingan yang dapat kita lakukan.

“Kita tidak mahulah nanti dipegang dengan janji semua peratusan, saya fikir ia adalah pasaran terbuka kita mesti faham bahawa penawaran dan permintaan itu bergantung kepada kehendak pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata terdapat penambahan seramai 1.27 juta orang penerima manfaat daripada Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) yang diperluaskan kepada individu 40 tahun ke atas berbanding had umur 50 tahun sebelum ini.

“Ketika kami memulakan projek rintis Skim Peka B40 bagi umur 50 tahun ke atas bagi pasangan suami dan isteri kita mempunyai 3.9 juta orang penerima.

“Apabila kita rangkumkan bagi individu 40 tahun ke atas, kita menambah lagi seramai 1.27 juta penerima,” katanya 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam melaporkan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) bagi pemeriksaan dan intervensi awal mengesan penyakit tidak berjangkit untuk mereka yang berusia antara 50 tahun hingga 60 tahun, diperluaskan individu berumur 40 tahun dan ke atas mulai tahun depan.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018