Perkhidmatan kesihatan pergigian libatkan Orang Asli capai 100 peratus pelaksanaan



Laporan eksklusif oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 14 Okt -- Perkhidmatan kesihatan pergigian melibatkan murid sekolah rendah termasuk prasekolah dalam kalangan Orang Asli di Johor mencapai tahap 100 peratus pelaksanaannya, pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pencapaian itu sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam menyampaikan maklumat berkaitan kesihatan pergigian secara meluas tanpa meminggirkan golongan itu.

"Perkhidmatan kesihatan pergigian ini telah diberikan kepada 10 buah sekolah rendah dan 18 prasekolah secara 'incremental' iaitu sekali dalam tempoh setahun yang mana tahap kesihatan mulut mereka turut menunjukkan peningkatan sejak 10 tahun lepas.

"Selain itu, sebanyak 37 daripada 58 kampung telah dilawati dengan menawarkan perkhidmatan kesihatan pergigian termasuk aktiviti promosi seperti pameran penjagaan pergigian, langkah pengesanan awal kanser mulut, ceramah kesihatan pergigian dan kaedah memberus gigi yang betul," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program 'Jom Jaga Gigi dan Kesihatan’ serta Sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat Johor 2019 bertemakan 'Sayangi Orang Asli' di Kampung Orang Asli Tanah Abang dekat sini semalam.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Selahuddeen Abd Aziz.

Mengulas lanjut, Mohd Khuzzan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata kerajaan negeri akan terus mendekati Orang Asli dalam usaha meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan pemeriksaan gigi secara berkala.

"Tidak dapat dinafikan bahawa Orang Asli cenderung untuk mendiami kawasan yang terletak agak jauh dari bandar yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan termasuk kesihatan bagi memudahkan mereka mencari sumber makanan dan menjalankan aktiviti ekonomi.

"Oleh itu, kesukaran mendapatkan perkhidmatan ini telah menyebabkan tahap kesihatan mereka kurang memuaskan, malah terdapat kes yang dirujuk ke hospital antaranya kanser mulut pada tahap kritikal berikutan tidak mendapat pendedahan awal selain memandang mudah isu tersebut," katanya.

Beliau berkata penyakit berkenaan boleh diubati sekiranya pesakit mengenal pasti tanda-tanda awal dan menurutnya kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan memberikan rawatan dan mempromosikan amalan penjagaan kesihatan gigi yang betul.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga akan memfokuskan kepada amalan pemakanan yang seimbang dalam memastikan masyarakat Orang Asli memiliki gigi yang kekal sihat dan bebas daripada kaviti ataupun karies gigi.

Katanya makanan yang diambil tanpa mengikut sukatan, berlebihan ataupun tidak seimbang boleh mengakibatkan kenaikan berat badan selain mengundang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Kita juga perlu mengambil berat mengenai jenis makanan yang diambil berikutan ia juga boleh mempengaruhi kesihatan gigi yang mana pengambilan gula secara berlebihan akan membentuk asid oleh bakteria dalam plak gigi yang boleh mengancam seterusnya menyebabkan gigi menjadi semakin reput," katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM30.6 bilion bagi memastikan rakyat memperoleh akses penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua selaras dengan aspirasi masyarakat inklusif yang mana RM5 juta daripadanya bagi perkhidmatan Klinik Bergerak untuk memudahkan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya Orang Asli.

-- BERNAMA

 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2