KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini berkongsi pengalamannya sebagai seorang 'survivor’ kanser payudara dan telah menjalani rawatan penyakit berkenaan pada Mac lepas.
Beliau berkata doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan kecil pada kiri payudaranya setelah menjalani pemeriksaan mammogram dan rawatan biopsi di sebuah hospital di ibu negara.
"Doktor menasihatkan saya supaya buang ketumbuhan itu dalam seminggu, mula-mula saya tak beritahu suami saya (Tun Dr Mahathir Mohamad), tak mahu kacau dia sebab sibuk baru balik dari luar negara... setelah keputusan itu keluar dan doktor sahkan ada (ketumbuhan) di situ, baru beritahu dan dia terkejut.
"Saya ingat lagi hari Isnin dapat keputusan, selepas itu tunggu sampai hari Jumaat masuk wad, petang periksa lagi sekali nak sahkan betul-betul ada ketumbuhan di situ, Sabtu pagi saya masuk bilik bedah, petang selesai pembedahan dan keesokannya saya dibenarkan pulang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL Pink October) 2019 di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.
Dr Siti Hasmah berkata rata-rata wanita takut untuk menjalani ujian saringan mengesan kanser payudara kerana stigma takut dan malu masih menebal selain kurang pengetahuan.
"Kanser payudara boleh berlaku pada sesiapa sahaja tidak kira umur daripada muda sehinggalah umur 90-an seperti saya.
"Jangan gadaikan nyawa kita kepada jenis kanser yang boleh dicegah sekiranya dapat dikesan dari awal, kerana lebih cepat dapat rawatan lagi cepat kita boleh sembuh.
"Pemeriksaan kesihatan itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu diberi kepada diri kita yang masih sihat sebelum mahu menjaga orang lain," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa KL Pink October 2019, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam berkata kempen yang bermula sejak semalam sehingga Sabtu ini menyasarkan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam di 10 kawasan Parlimen sekitar ibu kota.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu seramai 913 wanita disaring, 104 wanita masih mendapat pemeriksaan lanjut, sebahagian mereka masih dalam temu janji dan 27 rumah pesakit kanser telah dilawati.
"Bagaimanapun daripada jumlah itu, kurang 30 peratus wanita yang telah diberikan temu janji hadir ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut walaupun ditawarkan pengangkutan percuma dan ini sangat membimbangkan kami kerana mereka adalah berpotensi menghidap kanser," katanya.
Beliau berkata bilangan kes pesakit kanser payudara meningkat setiap tahun dan 18 peratus daripada keseluruhan penyakit kanser adalah kanser payudara.
"Lebih malang apabila lebih 40 peratus daripada pesakit yang datang mendapatkan rawatan adalah pesakit pada peringkat ketiga dan keempat.
"Justeru, kempen ini bukan sahaja memastikan golongan sasar membuat saringan dan pemeriksaan tetapi juga menerapkan maklumat penting tentang penjagaan kesihatan, bantuan dan peranan agensi terlibat dalam membantu mereka meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN