Denggi: Selangor rekod 49 kematian sejak Januari tahun ini



SHAH ALAM, 16 Okt  -- Sebanyak 49 kematian direkodkan daripada 57,980 kes denggi yang dicatatkan di seluruh Selangor sejak Januari sehingga 12 Okt tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara kes denggi di negeri ini iaitu sebanyak 77 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Bacaan sehingga minggu ke 41 tahun ini, kumulatif kes denggi di Selangor telah mencecah 57,980 mewakili 55 peratus daripada keseluruhan kes di Malaysia.

“Antara daerah yang mencatatkan kumulatif kes denggi tertinggi dalam tempoh yang sama adalah Petaling sebanyak 21,858 kes, Hulu Langat (12,245 kes), Klang (10,698 kes) dan Gombak (7,497 kes)," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti 122 titik panas wabak denggi di seluruh negeri ini meliputi 39 tempat di Petaling, Gombak (24), Hulu Langat (21) dan Klang (14).

Dr Siti Mariah mendakwa faktor utama mendorong kepada peningkatan kes denggi adalah disebabkan kepadatan  penduduk yang terlalu tinggi di Selangor.

“Kepadatan penduduk di Selangor yang dianggarkan berjumlah 6.52 juta orang ini mewakili 20 peratus kependudukan di seluruh Malaysia malah jumlah rakyat negeri ini yang sering berulang alik untuk bekerja di Kuala Lumpur turut dilihat menjadi punca kepada peningkatan kes denggi,” kata beliau.

Selain itu katanya, pertambahan jumlah warga asing di Selangor dengan keadaan kawasan kediaman mereka yang sering menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kes wabak tersebut.

Sehubungan itu, Dr Siti Mariah berkata pihaknya sedang menggiatkan usaha bagi membanteras lokasi pembiakan nyamuk aedes di sekitar negeri berkenaan dan antara sasarannya adalah bangunan terbiar, pusat kitar semula haram, tapak binaan terbengkalai, kenderaan terbiar, kebun haram serta kawasan pembuangan sampah yang tidak terkawal.

“Saya juga ingin mengingatkan penduduk Selangor supaya menjalankan tanggungjawab bersama dengan memastikan tempat kediaman dan tempat kerja sentiasa bebas daripada pembiakan nyamuk ini...tolong jangan letakkan tanggungjawab ini di bahu kami mahu pun Kementerian Kesihatan semata-mata,” katanya.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2