Kedah kaji kesesuaian cadangan cuti bersalin 90 hari



ALOR SETAR, 17 Okt-- Kerajaan Kedah akan melakukan kajian bagi melihat kesesuaian pelaksanaan cadangan cuti bersalin selama 90 hari kepada pekerja wanita di peringkat negeri ini sebelum melaksanakannya.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata kerajaan negeri sedang memperhalusi segala cadangan daripada peringkat Persekutuan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020, 11 Okt lepas termasuk mengenai cuti bersalin itu.

“Ada banyak perkara yang dicadangkan oleh peringkat Persekutuan dan saya lihat kebanyakan cadangan yang dibentangkan adalah baik untuk diamalkan di peringkat negeri. Bagi cadangan cuti bersalin itu, saya harap semua majikan sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta lihat ia sebagai satu perkara positif.

“Tujuan cuti bersalin itu dipanjangkan adalah untuk memurnikan institusi kekeluargaan. Walaupun bekerja, kita semua masih perlu menjaga kepentingan keluarga kerana ia merupakan satu cara untuk menjamin kesejahteraan dalam keluarga,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, buat masa ini cadangan mengenai tempoh cuti bersalin itu belum diputuskan lagi oleh kerajaan negeri untuk negeri ini dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 berkata kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 untuk meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa 2021.


Jumlah cuti bersalin ditingkatkan daripada 60 hari kepada 90 hari bermula 2021 sempena Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen pada Jumaat lepas. (Gambar fail)

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai pemberian bonus kepada kakitangan awam negeri, Mukhriz berkata perkara itu akan diumumkan dalam Belanjawan 2020 negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 20 Okt ini.

Terdahulu, berucap pada majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam Kedah dan Hari Bertemu Pelanggan, Mukhriz menyarankan semua jabatan dan agensi kerajaan untuk memberi perhatian sewajarnya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Hari bertemu pelanggan ini merupakan platform bagi masyarakat untuk menyuarakan aduan dan cadangan dalam membantu mempertingkatkan perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan. Selain itu, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan secara terus,” katanya.

Sebanyak 40 jabatan dan agensi kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta terlibat dalam program bertemu pelanggan yang diadakan hari ini.

-- BERNAMA






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2