IR4.0: Peranan ahli farmasi masih relevan, tidak akan diganti



SEREMBAN, 20 Okt -- Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) tidak akan menggantikan profesion ahli farmasi memandangkan bidang itu masih memerlukan sentuhan manusia, kata Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Datin Dr Faridah Aryani Md Yusof.  

Beliau berkata khidmat dan peranan ahli farmasi yang akan memberi nasihat kepada pesakit juga tidak boleh diambil alih oleh aplikasi mahupun penggunaan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI).

“IR4.0 itu juga bukan mengenai robotik sahaja, ia juga melibatkan data raya. Kita perlukan data raya dan semua mesti disepadukan. Jadi ia tidak akan ganti peranan ahli farmasi, mesti ada manusia juga yang kendalikan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dr Faridah Aryani berkata demikian ketika ditemui selepas menutup Persidangan Farmasi Negeri Sembilan 2019 di sini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan (Perubatan) Datin Dr Harlina Abdul Rashid.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak mempercayai maklumat pencegahan penyakit yang dengan mudah boleh diakses menerusi ‘Dr Google’ sebaliknya perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Terdahulu, Dr Faridah Aryani dalam ucapannya berkata peranan dan tanggungjawab yang semakin mencabar dan dinamik dalam perkhidmatan kesihatan hari ini menguji kemampuan ahli farmasi dalam melaksanakan dan memantapkan profesion mereka.



Beliau berkata seiring dengan senario global semasa, budaya kualiti dan inovasi telah menjadi teras kepada sesebuah perkhidmatan selain bertujuan untuk memenuhi kehendak rakyat secara holistik. 

Untuk itu, semua ahli farmasi perlu menongkah arus dan membudayakan amalan penyelidikan, kualiti dan inovasi bagi membolehkan organisasi menghadapi dan mengadaptasi kepada perubahan persekitaran yang pesat dari aspek sosial, ekonomi, budaya dan alam sekitar, katanya.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dihadiri seramai 165 peserta dari Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah, Melaka, Kelantan, Selangor, Perak, Pahang dan Johor.

-- BERNAMA

 


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN


APA ITU MELODY TPV?

Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018