JKKP terima 7,258 kes penyakit, keracunan pekerjaan tahun lepas



ALOR SETAR, 20 Okt -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menerima sebanyak 7,258 laporan berkaitan penyakit dan keracunan pekerjaan membabitkan pekerja pelbagai sekor, terutama perkilangan dan pembinaan pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata daripada jumlah itu, kes pekerja yang kehilangan pendengaran disebabkan bunyi bising adalah tertinggi membabitkan 6,372 pekerja.

“Kita turut menerima 258 kes pekerja yang menghidap masalah tulang dan otot, 165 pekerja disebabkan keracunan dan 242 berkaitan penyakit kulit. Peningkatan jumlah kes berlaku disebabkan peningkatan pelaporan yang dibuat oleh pihak majikan.

“Majikan serta pengamal perubatan berdaftar dilihat semakin sedar dan peka tentang kewajipan mematuhi Peraturan 7(1) dan 7(2), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (pemberitahuan mengenai kemalangan, kejadian berbahaya, keracunan pekerjaan dan penyakit pekerjaan (2004) dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Zon Utara (OSH in US Workshop) 2019 di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JKKKP, Omar Mat Piah.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyeru pihak majikan menyediakan persekitaran tempat kerja yang selamat bagi mengelak berlakunya kemalangan dan penyakit pekerjaan yang akan merugikan organisasi mereka.

“Apabila ditimpa kemalangan, tentunya pampasan akan diberikan dan merugikan majikan lebih-lebih lagi membabitkan pekerja yang mahir dan boleh dipercayai apabila dia tidak lagi dapat menyumbang kepada organisasi,” katanya.

Terdahulu, Mahfuz dalam ucapannya berkata, persekitaran tempat kerja yang sihat dan selamat akan memberi kesan positif kepada peningkatan produktiviti pekerja dan organisasi seterusnya meningkatkan hasil dan ekonomi negara.

Lebih 150 orang peserta terdiri daripada wakil pekerja menghadiri bengkel sehari anjuran JKKP itu bersama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) bagi meningkatkan kesedaran tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2