GEORGE TOWN, 21 Okt -- Malaysia masih memerlukan sekurang-kurangnya 8,000 lagi Pakar Perubatan Keluarga (FMS) bagi memenuhi keperluan rakyat dengan nisbah sasaran satu FMS untuk 4,000 penduduk.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata buat masa ini terdapat lebih 700 FMS berkhidmat di kemudahan perubatan awam dan swasta seluruh negara yang masih jauh daripada keperluan sebenar.
“Ini akan mengambil masa untuk kami. jadi kerana kami mempunyai dua program selari, satu dengan RCSI (Royal College of Surgeons di Ireland) dan satu lagi dengan sebuah universiti Australia tetapi yang lebih penting ialah melengkapkan program tempatan kami, program sarjana kerana kami perlukan bilangannya.
Jadi kami sedang melengkapkan sistem sedia ada, maka kami boleh meningkatkan bilangan pakar perubatan keluarga di dalam negara,” katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan Program Latihan Malaysia-Ireland untuk Perubatan Keluarga (MInTFM), di sini hari ini.
Turut hadir Duta Ireland ke Malaysia, Hillary Reilly dan Presiden RCSI & University College Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC), Prof David Whitford.
Dr Noor Hisham berkata perubatan keluarga dan rawatan asas adalah tumpuan utama kementerian dan MInTFM adalah sejajar dengan usaha kementerian untuk meningkatkan bilangan FMS di dalam negara ini kerana ia akan menyumbang kepada peningkatan kesihatan rakyat Malaysia.
Ketika ditanya mengenai biasiswa, beliau berkata kerana ini adalah program baharu, kementerian akan cuba mendapatkan biasiswa untuk pelatih perubatan keluarga.
Kohort pertama terdiri daripada 35 doktor yang dipilih untuk menjalani program latihan selama empat tahun, dua tahun di hospital dan dua tahun dalam perubatan keluarga.
Sementara itu, mengulas mengenai kematian seorang lelaki berumur 30 tahun akibat virus Zika di Manjung Perak Jumaat lepas, Dr Noor Hisham berkata siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.
Menurutnya, besar kemungkinan punca kematian lelaki itu bukan disebabkan oleh virus Zika kerana dipercayai terdapat jangkitan lain seperti leptospirosis dan denggi.
"Mungkin kematian bukan disebabkan oleh penyakit itu (Zika), tapi kita masih dalam siasatan untuk kita melihat dengan lebih teliti lagi...besar kemungkinan sebab dia ada jangkitan lain selain Zika, dia ada leptospirosis dan denggi," katanya.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN