Tan Sri Lee Lam Thye
KUCHING, 23 Okt -- Situasi kerja yang tidak kondusif boleh menyumbang kepada masalah keletihan mental atau ‘burn-out’ kepada individu hingga menyebabkan mereka kurang produktif semasa bekerja, kata Tan Sri Lee Lam Thye.
Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental itu berkata antara simptomnya termasuk rasa penat berpanjangan, perasaan sinis, pola fikiran negatif, serta ketidakmampuan untuk melakukan pekerjaan secara optimum.
“Sekiranya pekerja mengalami keletihan mental atau “burn-out”, ini mesti diperhatikan kerana ia bukanlah keletihan biasa. Ini adalah keadaan tekanan dan keletihan emosi yang jika tidak ditangani lebih awal, mungkin akan menjadi lebih teruk," katanya ketika berucap pada Persidangan Psikologi dan Perkhidmatan Kaunseling Awam Sarawak Kelima, di sini hari ini.
Lee, yang juga penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, berkata bahawa seseorang tidak dapat melaksanakan tugasnya jika pusat emosi otaknya terjejas kerana pusat ini sebenarnya mengawal kreativiti dan kebolehan membuat keputusan.
Justeru, tegasnya, pihak pengurusan sesebuah organisasi perlu berusaha menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang kebajikan pekerja mereka dengan mewujudkan dialog terbuka di tempat kerja, sama ada melalui acara berpasukan, kumpulan perbincangan, makan tengah hari ataupun hanya pertemuan ketika minum kopi.
"Jangan hanya memberitahu pekerja bahawa anda peduli terhadap kesihatan mental mereka tetapi tidak menggalakkan mereka untuk bersuara," katanya.
Beliau berkata majikan juga harus menunjukkan empati kepada pekerja mereka dan memastikan mereka telah membuat pilihan tepat apabila bertemu pihak atasan mereka untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan.
“Kejayaan mana-mana organisasi bergantung kepada kesihatan mental pekerja dan oleh itu, kempen kesedaran tentang perkara ini harus bermula di tempat kerja.
“Terdapat banyak yang dapat diperolehi apabila berucap tentang kesihatan mental, terutama bagi mereka yang berada dalam kedudukan kepimpinan, sama ada di sekolah, masyarakat, pertubuhan bukan keuntungan dan syarikat besar.
"Masalah kesihatan mental seperti kesihatan fizikal. Majikan tidak boleh memisahkan aspek peribadi dan profesional dalam seseorang pekerja," katanya.
Lee berkata, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) gangguan mental menyumbang 27 peratus daripada beban penyakit di negara maju dan 15 peratus di negara lain di rantau ini.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN