Kematian pesakit kanser berpunca daripada gaya hidup, pemakanan tidak sihat



MELAKA, 29 Okt -- Satu per tiga kematian pesakit kanser di negara ini pada tahun lepas adalah berpunca daripada tabiat gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye. 

Dr Lee berkata fakta berkenaan berdasarkan Malaysian Study on Cancer Survival (MyScan) 2018 dengan kerjasama Jabatan Registri Kanser Kebangsaan, Institut Kanser Negara dan registri kanser negeri.

Katanya tabiat tersebut termasuk berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang bersenam, pengambilan alkohol serta tembakau khususnya menerusi tabiat merokok.

"Kita mempunyai banyak program saringan kesihatan termasuk bagi mengesan kanser yang dijalankan di hospital kerajaan dan swasta tetapi kebanyakan kanser yang dihidap pesakit dikesan pada tahap akhir atau lewat.

Justeru kanser merupakan salah satu penyakit yang menjadi keutamaan bagi kerajaan untuk menanganinya dalam kalangan rakyat di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tomotheraphy Radixact X7 di Mahkota Medical Centre di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata antara kanser yang dikesan dalam kalangan rakyat negara ini ialah payu dara, serviks, paru-paru, prostat dan kolorektal, namun ia boleh dielakkan melalui gaya hidup sihat, imunisasi dan saringan kesihatan secara berkala selain ia dapat dirawat sekiranya masih berada pada tahap awal.

Beliau berkata salah satunya adalah menerusi Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diwujudkan kerajaan bagi melakukan saringan kesihatan termasuk kanser secara percuma di klinik kesihatan serta swasta yang berdaftar.

Menurutnya setakat ini lebih 130,000 golongan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup telah mendaftar di bawah PeKa B40  dan pihaknya menyasarkan kira-kira 250,000 hingga 300,000 orang berdaftar di bawah skim itu menjelang akhir tahun ini.

"Pada awalnya kita menyasarkan pendaftaran bagi PeKa B40 ialah sebanyak 800,000 menjelang akhir tahun ini namun ia dilihat tidak mampu dicapai mungkin disebabkan beberapa faktor," katanya.

Beliau berkata antara faktor tersebut ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan rakyat negara ini khususnya golongan B40 untuk melakukan saringan kesihatan, meskipun ia menyediakan kemudahan lain seperti bantuan alat perubatan, rawatan kanser dan pengangkutan.

Beliau berkata saringan kesihatan itu boleh dilakukan di semua klinik dan hospital kerajaan selain 1,500 klinik swasta di seluruh negara yang berdaftar di bawah skim itu.

Dalam perkembangan lain, katanya Kementerian Kesihatan telah menarik balik ubat gastrik ranitidine 150 miligram (mg) dan 300 mg di semua klinik dan hospital kerajaan kerana pengambilannya secara jangka masa panjang boleh mengakibatkan kanser.

-- BERNAMA


 






HealthEdge


EXCLUSIVE

Pet Vaccination, Public Awareness And Surveillance Key Towards Rabies-free Southeast Asia - Experts

KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.

read more ››

IN FOCUS

APA ITU MELODY TPV?


Pandangan rakyat Malaysia tentang peningkatan sasaran pemberian vaksin COVID-19 kepada 70 peratus.

UMSC: Pain Management

In Focus : UMSC Raya Open House 2018

In Focus: UMSC Consultant Speaks Erectile Dysfunction Precursor For Heart Disease Part 2