KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman ke atas pewartaan semua tempat makan awam terbuka sebagai kawasan larangan merokok.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan tindakan kementerian itu dilakukan secara teliti dan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Ia juga memberi suntikan semangat kepada warga kementerian khususnya warga Program Kesihatan Awam, untuk terus berjuang dan pertahankan polisi ini.
Tujuan utama penguatkuasaan larangan ini adalah untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok, terutama kepada mereka yang terdedah secara pasif. Larangan yang telah lama berkuatkuasa di 22 tempat awam lain sejak tahun 2005, hanya sekadar diperluaskan tahun ini untuk meliputi tempat makan awam terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan tujuh perokok untuk mencabar larangan merokok di semua premis makan yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan pada 1 Jan lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya yang menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan tujuh individu itu terhadap Kementerian Kesihatan selaku responden, berpendapat bahawa kesemua pemohon telah terkhilaf apabila menyatakan hak untuk mereka merokok akan terhakis sama sekali dengan adanya peraturan larangan merokok itu.
Dr Dzulkefly berkata walaupun tiada tempat merokok disediakan di tempat-tempat makan, ia tidak bermaksud hak perokok untuk merokok disekat atau terhakis kerana perokok masih boleh merokok di luar kawasan larangan.
“Ingin saya tekankan di sini bahawa tidak pernah saya mahupun kementerian secara amnya menganggap golongan perokok sebagai musuh kami. Malah, kami sangat mengambil berat terhadap kesihatan rakyat dan komited untuk mempertahankan persekitaran yang sihat agar kesihatan setiap lapisan rakyat terbela,” katanya.
Beliau berkata kementerian juga komited untuk melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan awam terbuka mulai 1 Jan 2020, selepas tempoh bagi aktiviti penguatkuasaan pendidikan berakhir pada 31 Dis tahun ini.
-- BERNAMA
KUCHING, Dec 11 (Bernama) -- The goal of making Southeast Asia free from human rabies can be achieved through a total understanding of the disease, how it can be prevented and responsible pet ownership among communities, say experts.
read more ››TAVI KAEDAH BAIK PULIH INJAP JANTUNG TANPA PEMBEDAHAN